Skip to main content

Rencana

Lee Zii Jia sudah bersedia?

lee-zii-jia.jpg
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, penulis tertarik dengan kelibat serta kematangan yang dijelmakan pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia.

Bermula dengan kejayaan meraih emas perseorangan lelaki di Sukan SEA Filipina 2019, Zii Jia terus mempamer aksi meyakinkan di saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dengan membantu skuad lelaki muncul naib juara.

Ketika Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan tahun lalu, rata-rata pemerhati sukan tertanya-tanya apakah Malaysia mampu melahirkan seorang lagi perseorangan lelaki yang ampuh di atas gelanggang.

Kini jawapan itu seakan sudah ada jawapannya dengan aksi yang semakin meyakinkan dipamerkan Zii Jia.

Penulis percaya, pemain berusia 22 tahun itu mampu membawa pulang kilauan pingat di Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

Namun, Zii Jia perlu sentiasa menanam keazaman tinggi dalam dirinya serta terus menggandakan usaha dalam latihan bagi membawa tahap permainannya ke aras lebih tinggi.

Mungkin Zii Jia wajar mencontohi kelibat bintang Jepun, Kento Momota untuk terus mencapai potensi yang dipamerkannya kini.

Untuk temasya Sukan Olimpik Tokyo, mungkin apa saja warna pingat sudah memadai buat Zii Jia yang akan membuat penampilan sulung di temasya sukan dunia terbesar itu.

Dan mungkin selepas Sukan Olimpik Tokyo, kita akan mula melihat Zii Jia terus mencapai kejayaan demi kejayaan dalam saingan Siri Super dan sekali gus mencapai potensi sebenarnya.

Buat Zii Jia, teruskanlah usaha anda dan buktikan anda mampu menjadi harapan utama negara dalam saingan perseorangan lelaki selepas ini.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found