Skip to main content

Advertisement

Rencana

Lawatan sambil belajar dengan duit sendiri

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

51116lingam.jpg

Biasanya lawatan sambil belajar ke luar negara yang dianjurkan mana-mana organisasi, sama ada kerajaan atau bukan kerajaan, disertai satu kelompok besar.

Tabiat yang sudah menjadi budaya ini berlawanan pula dengan pemikiran seorang sukarelawan.

Berapa ramai antara kita yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk merasai suasana penganjuran temasya sukan besar? 

K. Lingam, seorang pegawai bahagian atlet di Majlis Sukan Negara (MSN), berbuat demikian semata-mata untuk menikmati Sukan Olimpik di Rio de Janeiro sebagai seorang sukarelawan.

Lingam yang uga seorang pengadil hoki, dipilih sebagai seorang sukarelawan yang berpusat di Pusat Olimpik Hoki di Complexo Olimpico De Deodoro.

Pada penghujungnya, Lingam dianugerahkan sijil selaku sukarelawan Rio 2016.

“Pengalaman di Rio adalah satu impian yang menjadi kenyataan,” kata Lingam.

“Saya memang mengimpikan peluang menjadi sebahagian daripada Sukan Olimpik. Minda saya terbuka dengan cara penganjuran, pengurusan pasukan, logistik dan kerenah manusia secara umumnya.

“Yang penting pengalaman yang saya cedok akan digunakan untuk kerja seharian saya,” katanya.

Pengalaman Lingam memutarkan semula jam memori penulis kepada pertemuan dengan seorang warga Malaysia di Athens pada 2004.

Ketika teksi kuning yang membawa penulis menghampiri Perkampungan Sukan Olimpik di Athens, degupan jantung semakin kencang.

Ia kali pertama penulis menjejakkan kaki ke perkampungan sukan Olimpik, yang terletak kira-kira 25km dari hiruk-pikuk Athens.

Athens 2004 adalah temasya Olimpik terakhir dilaporkan secara konvensional tanpa pengaruh media sosial. Jadi wartawan tidak dihambat waktu dan juga tiada keperluan mengemas kini status setiap setengah jam.

Apabila tiba waktu untuk pulang ke Pusat Utama Media berdekatan Stadium Olimpik di Maroussi, penulis menunggu teksi bersama wartawan Harian Metro, Azahar Taib.
Tiba-tiba kami ditegur. 

“Encik orang Malaysia ke?” kata seorang pemuda bertubuh kurus. 
Rupa-rupanya Ong Su Gin, ketika itu pelajar kejuruteraan di University Aalen di Stuttgart, Jerman, berasal dari Petaling Jaya. 

Dia menceritakan kedatangannya ke Athens bersama rakan satu university, M. Puvanendran, dari Batu Caves. Mereka memohon menjadi sukarelawan Athens 2004 menerusi internet.

Penganjur hanya membiayai kos penerbangan pergi balik dari Stuttgart ke Athens dan perbelanjaan perjalanan.

Mereka hanya dibekalkan kemeja t, topi, seluar dan membayar RM4,600 untuk menyewa pangsapuri.

Begitulah pengorbanan seorang sukarelawan untuk temasya berprestij seperti Sukan Olimpik.

Penulis sudah mendaftarkan diri untuk menjadi anggota sukarelawan Sukan SEA 2017. Namun disebabkan tugasan di Astro Arena, kemungkinan besar penulis tidak dapat menikmati pengalaman itu.

Lingam dan Su Gin adalah antara sukarelawan yang beruntung kerana mengecap nikmat yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit.

Advertisement

Must Watch Video