Pasti ramai peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong setia Selangor terkejut dengan laporan pendedahan Nadi Arena oleh penulis pada 25 November lalu berhubung penyertaan PKNS FC dalam saingan Liga M musim 2017.
Tindakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk tidak memberi sokongan kepada penyertaan kelab itu dalam saingan musim depan, menimbulkan pelbagai persoalan terhadap tindakan drastik itu.
Memang benar, mengikut Peraturan Pertandingan 4.1.3 (i), hanya pasukan kelab yang dicalonkan dan disokong Persatuan Bola Sepak Negeri serta mematuhi peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) layak menyertai Liga M.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada FAS kepada media berhubung tindakan mereka terhadap PKNS dan faktor utama yang mendorong Jawatankuasa Eksekutif FAS mencapai kata putus untuk tidak memberi kebenaran kepada kelab itu beraksi musim depan.
Di kalangan pemerhati bola sepak tempatan, sudah pasti tindakan FAS ini tampak berkait rapat dengan krisis dalaman FAS serta keretakkan hubungan antara Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS.
PKNS sebenarnya mempunyai sejarah yang berkait dengan bola sepak Selangor dan negara sejak ia ditubuhkan pada 1967 dengan ramai legenda negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan mendiang R Arumugam pernah mengerah kudrat buat kelab itu.
PKNS mula beraksi dalam saingan Liga M dengan penyertaan di Liga Perdana pada 2004 selepas meraih kejuaraan Piala FAM pada 2003 dan sentiasa mempamerkan peningkatan daripada satu musim ke satu musim sehingga kejayaan layak ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana musim ini.
Walaupun kesukaran meraih sokongan peminat yang ramai, PKNS mempunyai program pembangunan belia berkesan yang sudah pun menghasilkan pemain kebangsaan seperti Christie Jeyaseelan dan Azrif Nasrulhaq.
PKNS turut kerap menghasilkan pemain muda berpotensi menerusi program belianya yang sentiasa membarisi skuad Piala Presiden, Bawah 19 Tahun serta Sukma Selangor sejak kebelakangan ini.
Kelab tersebut juga bakal mempunyai skuad bawah 19 tahun yang sepatutnya bersaing dalam saingan Piala Belia Bawah 19 Tahun musim 2017.
Kerana itu, penulis tidak faham apakah kewarasan FAS mengambil tindakan yang seakan menghukum PKNS, sedang kelab itu turut membantu perkembangan bola sepak di negeri Selangor.
Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) akan membincangkan status PKNS untuk saingan musim depan pada mesyuarat ahli lembaga pengarah 28 November ini.
Namun, penulis membayangkan kata putus penyertaan PKNS bukan terletak di tangan FMLLP, kerana FAS selaku ahli gabungan FAM boleh memberi "lampu hijau" kepada kelab itu yang juga ahli gabungannya beraksi di Liga M musim depan.
Penulis amat berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bersama barisan kempimpinan FAS yang lain akan segera duduk semeja, meleraikan segala kekusutan dalam pentadbiran persatuan itu serta kedudukan PKNS demi pembangunan bola sepak di negeri Selangor.