Dua jaringan Safawi Rasid dalam separuh masa pertama membolehkan skuad B-23 tahun Malaysia mencipta kemenangan ke atas juara bertahan Sukan Asia, Korea Selatan, setelah 44 tahun, di mana kali terakhir skuad negara menewaskan Korea Selatan dalam temasya Sukan Asia 1974 di Tehran.
Sudah pastilah kemenangan ini memberi kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana semua maklum bahawa Korea Selatan adalah sebuah pasukan handalan.
Kemenangan ini juga mengesahkan skuad Malaysia B-23 sebagai pasukan pertama yang layak ke peringkat kalah mati dan berkemungkinan akan menduduki tangga teratas Kumpulan E sekiranya menewaskan Bahrain dalam perlawanan terakhir Isnin ini.
Ini satu perkara yang positif dalam skuad Malaysia B-23 ini kerana ia mampu meningkatkan keyakinan apabila berhadapan dengan pasukan-pasukan pilihan nanti.
Advertisement
Walaupun semua maklum pasukan Korea Selatan adalah sebuah pasukan yang mempunyai pengalaman yang luas di peringkat antarabangsa selain mempunyai keupayaan teknikal individu yang baik, kekuatan fizikal dan mampu berfikir dengan pantas serta membuat keputusan dengan bijak.
Namun, itu semua tidak menghalang skuad Malaysia B-23 untuk memberi aksi terbaik mereka.
Dengan semangat juang yang tinggi serta disiplin bertahan secara berpasukan dengan baik, itu memberi kejayaan kepada skuad Malaysia B-23.
Kejayaan ini sudah pasti akan menjadi satu inspirasi kepada pemain-pemain bola sepak di Malaysia, terutama diperingkat elit akar umbi untuk terus berusaha dan perlu yakin dengan bakat mereka sekiranya mereka bekerja kuat untuk menjadi seorang pemain yang baik dan menjulang nama Malaysia.
Tahniah kepada semua pemain dan pegurusan skuad Malaysia B-23 yang terus berjuang mengangkat martabat bola sepak Malaysia walaupun semua tahu kita masih lagi jauh ketinggalan daripada negara-negara Asia yang lain seperti Jepun dan Korea Selatan.
Teruskan usaha tanpa mengenal keletihan seperti bekerja tanpa hari esok. Ayuh Malaysia teruskan perjuangan,buktikan yang Malaysia Boleh.