Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Klopp lebih gemar bentuk bintang baru

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

elliott.jpg
Tatkala pengurus dan kelab utama Inggeris serta Eropah lain sibuk memulakan rundingan mendapatkan pemain-pemain baru, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, tampak tidak terlalu terdesak mencari pemain bintang untuk menguatkan skuad mereka.

Ketika ini, Liverpool hanya membeli dua pemain remaja iaitu Sepp van den Berg, 17, daripada kelab Eredivisie Belanda, PEC Zwolle, dan Harvey Elliot, 16, daripada Fullham.

Ramai pemerhati dan peminat setia Liverpool mengharapkan pasukan kesayangan mereka itu akan membeli pemain di posisi bek kanan dan kiri sebagai pemain sokongan kepada Trent Alaxander-Arnold dan Andrew Robertson.

Namun, jangan terkejut jika Klopp kali ini memilih untuk tidak membeli pemain baru di posisi bek kanan dan kiri, sebaliknya menaikkan pemain daripada skuad B-23 atau B-19 mereka ke skuad utama.

Sebelum ini, Klopp turut mengakui penyerang muda, Rhian Brewster, akan berada dalam skuad utama musim ini untuk bersaing merebut tempat bersama Roberto Firmino dan Divork Origi selaku pengempur utama.

Ia jelas menunjukkan kaedah Klopp yang lebih gemar membentuk pemain muda atau pemain yang kurang ternama menjadi bintang daripada membeli pemain bertaraf bintang.

Namun, Klopp sanggup berbelanja besar untuk pemain yang dirasakan wajib dimiliki Liverpool seperti tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, dan penjaga gol, Allison Becker.

Liverpool kini juga mempunyai khidmat Micheal Edwards selaku Pengarah Sukan dan setakat ini, berjaya mendapatkan pemain-pemain yang sesuai buat Klopp sehingga menyaksikan mereka muncul juara Eropah buat kali keenam.

Kehadiran Edwards membuktikan Klopp sebenarnya boleh mendapatkan mana-mana pemain yang dimahukannya dengan seorang pakar runding seperti Edwards.

Namun, Klopp jelas enggan bebelanja besar kerana dia kini turut mempunyai rangkaian peninjau bakat yang terbukti berkesan selepas mereka menjulang Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Penulis berani bertaruh, van den Berg bakal menjadi pemain utama musim ini bergandingan dengan rakan senegaranya, Van Dijk, manakala Elliot, yang kini memegang rekod sebagai pemain termuda di Liga Perdana Inggeris (EPL), akan menjadi sensasi baru di Anfield.

Sudah pasti Klopp mendapatkan laporan terperinci daripada peninjau bakat serta tenaga kejurulatihannya mengenai seseorang pemain sebelum melakukan bidaan.

Jika dilihat, kini kesemua pemain Liverpool mampu bermain mengikut percaturan Klopp, yang menekankan taktikal "Gegenpressin", yang mewajibkan pemain segera mendapatkan semula bola sebaik kehilangannya kepada pemain lawan.

Jadi, jika peminat kelab-kelab EPL lain kini "membahankan" Liverpool kerana tidak membeli nama besar, penulis percaya mereka akan menelan semula kata -kata mereka pada penghujung musim 2019-2020 kelak.

Advertisement

Must Watch Video