Skip to main content

Rencana

Kisah berbeza dua wira

56317661_2610482565690885_1897926050734669824_n.jpg
Kemenangan 4-3 Selangor ke atas Melaka dalam saingan Liga Super Jumaat lalu menyaksikan kisah kelibat berbeza dua penjaring skuad Gergasi Merah.

Kapten dan penyerang veteran, Amri Yahyah yang meledak dua gol babak pertama untuk Selangor mendahului 2-1 tamat babak pertama jelas membuktikan mengapa dia masih relevan berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Amri turut terbabit dengan gerakan gol ketiga Selangor yang disudahkan Sean Selvaraj.

Usianya mungkin menjangkau 38 tahun, namun aksi yang dipamerkan Amri seakan dia masih berusia 28 tahun dan dia membuktikan dirinya mampu beraksi mengikut percaturan B.Satianathan.

Awal musim ini menyaksikan Amri sekadar beraksi selaku pemain gantian dan kini, bekas pemain kebangsaan kelahiran Tanjung Karang itu juga semakin membuatkan ketiadaan Rufino Sergovia kerana kecederaan semakin tidak dirasai.

Jika awang import itu kembali sekali pun, penulis percaya Amri mampu membentuk gandingan ampuh bersamanya nanti.

Dua lagi gol ketika berdepan Melaka pula diraih Sean, pemain yang berasal dari Port Dickson itu kini sudah buktikan dia bersedia menggalas tugas selaku pemain utama.

Masuk di pertengahan babak kedua dalam aksi berdepan Melaka menggantikan Syazwan Zainon, Sean turut buktikan dia selesa di bahagian sayap kanan pasukan.

Ketika temubual pasca perlawanan, Satia turut akui Sean sentiasa bekerja keras di latihan dan tidak menolak kemungkinan bekas pemain Negeri Sembilan itu berada dalam kesebelasan utama selepas ini.

Memasuki musim keduanya bersama Selangor, Sean jelas sudah menjelmakan kematangannya musim ini berlandaskan aksi berdepan Melaka.

Penulis menjangkakan, Amri dan Sean akan terus memainkan peranan penting buat Selangor selepas ini serta turut menjayakan lagi formasi 4-3-3 yang diterapkan Satia.

Selangor kini di tangga keempat Liga Super namun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah keampuhan pasukan.

Sudah pasti Satia sedar, Selangor masih perlu menambah kekuatan benteng pasukan yang setakat ini sudah dibolosi 16 gol, rekod kedua terburuk liga kini selepas pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur.

Imej: Selangor FA

Advertisement

Must Watch Video