Skip to main content

Rencana

King Rafa & Puteri Latvia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

020617rafaelnadal.jpg
Kejohanan grand slam kedua di kalendar tenis dunia, Terbuka Perancis, melabuhkan tirainya dengan gilang gemilang, menepati status sebagai kejohanan penuh prestij.

Cuma ramalan saya agak tersasar apabila pemain pilihan, Simona Halep gagal menjelmakan pesona juara ketika berdepan pemain muda sensasi Latvia, Jelena Ostapenko di pentas akhir tetapi saingan lelaki tetap menjadi milik Rafael Nadal yang gah kembali mengecap kejuaraan selepas kali terakhir muncul juara juga di Roland Garros pada 2014.

Disebalik kesungguhan, pahit maung dan drama yang menghiasi perjalanan edisi kali ini, saya fikir Ostapenko adalah individu yang paling banyak berdepan kesukaran. Antara halangan yang perlu ditempuh Ostapenko untuk ke final adalah bekas pemain no.1 dunia, Caroline Wozniacki namun ketenangan dan langsung tidak gentar dengan reputasi lawan lebih dominan dalam diri pemain berusia 20 tahun ini. Mungkin sahaja kekuatan itu dipupuk menerusi minatnya yang satu lagi iaitu menari yang perlukan daya fokus tinggi. Walaupun memilih untuk bergelar pemain tenis secara profesional, Ostapenko yang gemarkan tarian samba khabarnya masih meluangkan masa sekurang-kurangnya 4 kali seminggu untuk menari.

Menuju ke pentas akhir, Tony Nadal, bapa saudara Juara 10 kali Terbuka Perancis ini menyuarakan kerisauannya mengenai kemenangan yang dilihat mudah dikecapi Rafa namun ia bukan Dejavu, jauh sekali petanda buruk. Rafa juga dilihat mudah menundukkan Stan Wawrinka tanpa melepaskan satu set pun. Kepada yang menonton perlawanan akhir ini pastinya terpukau dengan beberapa rali pada penghujung aksi, namun Wawrinka sendiri nampaknya sudah tiada daya menghalang Raja Gelanggang Tanah Liat ini dan akhirnya menjadi penyumbang kepada mata akhir atau mata kemenangan buat Rafa.

Jadi jelaslah di sini bahawa dalam era tenis moden belum ada pengganti Rafa jika dia mahu bersara saat ini. Namun sudah ada yang mengandaikan Ostapenko sebagai jelmaan legenda tenis wanita, Monica Seles dan tidak sabar menanti aksinya di Wimbledon. Alangkah baiknya jika Malaysia juga punya pemain tenis yang cukup sekadar mampu mencabar di kejohanan seperti ini. 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video