RENCANA
King Gopal Turun Takhta
Adakah ranking di Liga Super tidak penting buat Datuk K. Rajagopal? Atau mungkin beliau hanya menganggap satu perlawanan demi satu perlawanan sebagai eksperimen buat skuad Sarawak ?
Tidak mungkin Rajagopal hanya tumpukan kepada saingan kalah mati kerana mereka tersingkir awal pada saingan Piala FA. Jadi apa lagi yang tidak kena ?
Sepuluh perlawanan Liga Super dengan hanya satu kemenangan menjadi punca utama jurulatih Ngap Sayot, Datuk K. Rajagopal direhatkan dari membimbing skuad utama pasukan Sarawak. Mandat yang diberikan terpaksa ditarik balik berikutan aksi kurang memberangsangkan skuad Kenyalang yang kini menghuni tangga tercorot Liga Super.
Iklan
Dengan rekod selaku bekas jurulatih skuad kebangsaan yang pertama kali merangkul kejuaraan Piala AFF Suzuki pada 2010, reputasi Datuk K. Rajagopal dilihat sedikit tercalar kerana gagal menyediakan pasukan yang beraksi di saingan domestik.
Menyertai Sarawak pada penghujung 2015, Rajogopal diberi ruang untuk memilih senarai pemain dalam skuad utama bagi saingan Liga Super namun acuannya dilihat gagal menyaingi kehebatan pasukan-pasukan lain sehingga mengakibatkan Persatuan Bolasepak Sarawak perlu mengambil langkah drastik dengan kadar segera. Rekod 6 tewas, 3 seri dan 1 kemenangan di Liga Super belum mampu mengukir senyuman di wajah peminat peminat Ngap Sayot yang pastinya tidak mahu mereka kembali ke kancah saingan Liga Perdana.
Kekosongan kerusi ketua jurulatih akan diganti oleh David Usop dan FAS mengharapkan agar skuad mereka mampu kembali bangkit dari kedudukan tercorot liga atau sekurang-kurangnya meningkat prestasi ke tahap yang lebih baik dari sekarang. Pertemuan menentang Perak akan menjadi ujian pertama David untuk membuktikan keupayaannya untuk memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan.
Must-Watch Video