Skip to main content

Rencana

Kiko Insa agresif tak bertempat

kiko-insa.jpg

"Nak main bola ke nak main kaki?". Reaksi itu ditujukan kepada pemain tengah Pahang, Kiko Insa.

Pertemuan Liga Super antara Pahang dan PKNS FC di Stadium Darulmakmur Kuantan pada Selasa berlangsung dengan penuh drama.

Beraksi dalam keadaan padang becak akibat hujan, skuad Tok Gajah garang membenam The Red Ants 3-0 hasil jaringan Afif Amiruddin, Matheus Alves Leandro dan Ashari Samsudin.

Namun, ada cerita lebih hangat sedang diperkatakan berbanding cerita kemenangan bergaya Pahang itu. Ia membabitkan insiden panas yang dicetuskan Kiko Insa.

Penulis percaya rata-rata peminat bola sepak tanah air sudah tahu mengenai insiden pergaduhan itu susulan rakaman video insiden itu sudah tular di media sosial pada Rabu. 

Insa yang bertindak sebagai pemain gantian Pahang dilihat sengaja menyepak kaki penyerang PKNS FC Safee Sali dari belakang sebelum pemain kebangsaan itu dan beberapa rakannya memberi reaksi balas.

Perbuatan 'jahat' Insa itu jelas mendapat kritikan netizen terutama peminat bola sepak tanah air kerana bukan kali pertama dia bertindak sedemikian tetapi sudah beberapa kali.

Difahamkan, pemain Perak Zaquan Adha Abdul Radzak dan pemain tengah import Kedah Liridon Krasniqi juga pernah menjadi mangsa kekasaran pemain naturalisasi itu.

Bukan sahaja peminat, rata-rata pemain bola sepak profesional di Malaysia juga mengutuk tindakan pemain kelahiran Sepanyol itu yang disifatkan tidak wajar kerana boleh mendatangkan kecederaan.

Ada peminat yang mengharapkan agar jurulatih Pahang, Dollah Salleh dan pengurusan pasukan berkenaan menasihati pemain berusia 28 tahun itu supaya lebih tenang dan tidak mengulangi kekasaran yang sama pada perlawanan seterusnya.

Namun, paling mencuit hati penulis mengenai komen peminat di laman media sosial adalah Insa akan tahu nasibnya jika melakukan kekasaran ke atas Shukor Adan atau Safiq Rahim!

Ada yang tak sabar nak tengok Insa main macam tu di Larkin! 

Dengar cerita, corak permainan Insa juga tidak digemari oleh peminat bola sepak di Indonesia? Apa pun, kita harapkan tiada lagi insiden tidak diingini berlaku seperti itu selepas ini kerana adalah lebih baik jika semua pemain tampil dengan semangat kesukanan tinggi di atas padang! 



Advertisement

Must Watch Video