RENCANA
Kepada: Menteri Belia dan Sukan Baru
Salam.
Terlebih dulu saya mengucapkan tahniah kepada YB atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.
Sebagai individu yang terbabit dengan kewartawanan sukan sejak empat menteri terdahulu, saya mempunyai beberapa cadangan untuk penambahbaikan sepanjang tempoh kendalian YB di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Iklan
Cadangan ini bagi menambah idea pegawai KBS dalam menguruskan atlit, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan dengan dana yang berkurangan berbanding yang dinikmati menteri terdahulu.
1. Rakan Sukan
Memandangkan kerajaan mengamalkan langkah berjimat-cermat, maka semua agensi dibawah KBS juga perlu melakukan perkara sama. Program Rakan Sukan yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada era 90-an perlu dihidupkan semula bagi mengurangkan beban MSN untuk membiayai program latihan/elaun atlit negara.

Menteri perlu bertindak sebagai penghubung antara syarikat swasta-persatuan sukan kebangsaan (NSA) bagi meningkatkan peluang pelaburan. Pesuruhjaya Sukan (PJS) dicadangkan sebagai pihak yang akan menguruskan perkara ini kerana PJS mempunyai hubungan terus dengan semua NSA di Malaysia.
Strategi ini bagi mengeratkan hubungan PJS-NSA dan memahami keperluan pegawai NSA dalam menguruskan atlit negara. Jika tidak, PJS hanya akan fokus terhadap tugas hakiki "Polis Sukan Malaysia".
2. Akta Pembangunan Sukan 1997
a) Sebelum ini, tugas untuk menguruskan program pembangunan diberikan kepada MSN. Sudah sampai masanya NSA diberi lebih banyak kuasa dengan syarat mereka mendapat dana mencukupi.
b) PJS yang banyak terbabit merangka akta dan sebagai badan penghubung NSA-syarikat swasta, perlu diberi lebih banyak kuasa mengenai perkara ini. Apatah lagi, jika PJS diberi mandat dalam perkara 1(b).
3. Program Latihan Luar Negara
a) Terjun (China), Basikal Trek (Australia) dan Nicol David (Belanda) sudah lama menikmati program latihan jangka masa panjang di luar negara. Bagi menjimatkan kos, dicadangkan mereka dibawa pulang ke Malaysia.
b) Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil sudah dinaiktaraf dan muncul antara yang terbaik di dunia. Hanya beberapa penambahbaikan diperlukan Pemangku Ketua Jurulatih, Zhang Yukun seperti peralatan latihan di dry gym & papan anjal.
c) Basikal Trek sudah berkampung di Melbourne sejak 2006. Tetapi, Malaysia sudah membina Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan lebih banyak digunakan pelumba remaja kebangsaan. Beberapa bilik, ruang kosong di velodrom itu boleh digunakan secara optimum. Malah, Ketua Jurulatih Basikal Negara, John Beasley difahamkan setuju untuk memindahkan latihan ke Malaysia.
d) Nicol sudah berada di Belanda sejak awal 2000. Memandangkan usia makin lanjut, maka lebih baik dibawa pulang kerana pasukan negara berpangkalan di Bukit Jalil. Ramai pemain muda seperti S. Sivasangari, Aifa Azman perlukan tunjuk ajar Nicol.
4. Program Podium
a) Program ini menelan kos sekitar RM145 juta sejak dilancarkan pada 2016. Bagaimanapun, hasilnya tidak seperti diharapkan berdasarkan prestasi Sukan Komanwel Gold Coast. Nasib program ini bergantung kepada prestasi Malaysia pada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan. Jika berjaya raih kelompok 10 terbaik, ini bermakna Program Podium akan mencapai indeks prestasi utama (KPI).
b) Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Malaysia pernah mencapai prestasi sama pada temasya lalu dengan hanya menggunakan dana berpatutan. Sepatutnya, Program Podium diletakkan sasaran kelompok 7/8 terbaik berasaskan dana, teknologi sains sukan dan kepakaran pegawai asing. Justeru, dicadangkan Program Podium dipindahkan ke MSN dengan dana yang berpatutan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sebenarnya, banyak lagi yang mahu saya kongsikan. Tetapi saya percaya pegawai KBS, MSN dan ISN lebih arif untuk mencari jalan menguruskan sukan negara dengan dana berpatutan. Jika kita boleh raih emas dengan "RM10 sebelum ini", jadi mengapa kita perlu berbelanja lebih?
Semoga kepimpinan YB dan pegawai sukan negara dapat mengekalkan atau meningkatkan lagi mutu sukan Malaysia. Selamat berjaya!
Must-Watch Video



