Skip to main content

Rencana

Kembalikan zaman kegemilangan

amri.jpg
Umum pasti sudah mengetahui kembalinya legenda bola sepak Selangor, Amri  Yahyah, ke pangkuan skuad Merah Kuning  sewaktu jendela perpindahan dibuka pertengahan bulan ini. 

Secara tidak langsung, pasti ramai peminat bola sepak Selangor mahu menyaksikan aksi daripada pemain yang berasal dari Tanjung Karang  itu.

 Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Aksi pertama Amri bersama Selangor menyaksikan Red Giants tewas kepada Pahang dengan keputusan 2-0. 

Biarpun dibantu kehadiran Amri dan kembalinya Andik Vermansyah, ia belum mampu membantu Selangor untuk menumbangkan skuad Tok Gajah. 

Sebagai anak Selangor, Intan berasakan prestasi Selangor musim ini tidaklah begitu memberangsangkan tetapi tidak juga begitu teruk. 

Mungkin orang luar melihat prestasi Selangor sekadar biasa-biasa sahaja musim ini tetapi bagi peminat tegar, mereka pastinya mahukan lebih lagi daripada pasukan gergasi Lembah Klang ini.

Bohonglah jika peminat Selangor tidak kecewa melihat pasukan mereka tersingkir awal daripada saingan Piala FA musim ini.

Bohong juga andai mereka tidak sedih melihat kedudukan Selangor dalam  liga sekarang, di mana dahulunya Selangorlah yang selalu memimpin carta liga.

Dan bohong juga jika mereka tidak gusar apabila melihat undian Piala Malaysia, dengan Selangor berada dalam kumpulan maut bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu dan Sarawak. 

Pasti ada yang sudah mula terfikir mampu atau tidak untuk Selangor melepasi halangan di peringkat kumpulan nanti.

Semua rasa itu terbit berdasarkan prestasi yoyo pasukan Selangor musim ini. Ada masanya Selangor dilihat mudah menewaskan lawan, namun ada masanya dilihat terlalu mudah pula ditewaskan.

Apa yang  Intan dan seluruh peminat pasukan Selangor harapkan adalah  dengan kembalinya Amri bersama skuad Selangor, ia mampu untuk turut mengembalikan zaman kegemilangan The Red Giants suatu ketika dahulu.

Kehadiran orang lama seperti Amri amat penting untuk membimbing pemain-pemain muda selain  dapat membantu Selangor melalui musim ini dengan pengalaman yang dimiliki dan mendapatkan semula aura Red Giants yang selama ini kami laungkan.

Ayuh kembalikan zaman kegemilangan.

Advertisement

Must Watch Video