Skip to main content

Rencana

Kejuaraan Nicol dan Ivan bawa makna berbeza

nicol-david_2.jpg
Kejuaraan dua generasi berbeza.
 
Kejuaraan skuasy kebangsaaan kali ke-4 untuk Nicol David dan kali pertama buat Ivan Yuen di Kejohanan Skuasy Kebangsaan yang berlangsung di Kompleks Skuasy Jalan Duta yang berlangsung dari 21 hingga 26 Mei 2017.
 
Ketika Nicol menjulang kejuaraan kebangsaan pertamanya pada tahun 2010, Ivan baru sahaja meninggalkan kategori remaja dan melangkah ke skuad senior.
 
Ivan menanam impian untuk menjadi seperti idolanya dan menggapai trofi itu satu hari nanti.
 
2 kali kempunan di final 2014 dan 2016, penantian pemain nombor 2 negara itu berakhir setelah menewaskan pencabar terdekat yang juga juara bertahan Mohd Nafiizwan Adnan dalam 5 game untuk menjadi juara lelaki kebangsaan 2017.
 
Diberi tugas sebagai pengulas bersama mentor, Shaukei Kahar, kedengaran ayah Ivan acap kali memberi kata-kata semangat dan mengingatkan anaknya pada waktu rehat selepas setiap game supaya tidak berputus-asa dan dia mampu menjadi juara.
 
Selepas 97 minit bergelut mengatasi pemain nombor 1 negara, Nafiizwan yang bertubuh sasa dan juga beraksi pada tahap terbaik, akhirnya Ivan pemain di ranking 43 dunia menarik nafas lega dan melonjak meraikan kejayaannya.
 
Seniornya -- juara dunia 8 kali berusia 33 tahun, Nicol, diberi tentangan oleh pilihan kedua Rachel Arnold, namun akhirnya pengalaman bermain di tahap kompetitif selama 23 tahun memberi kelebihan kepada ratu skuasy negara yang akan beraksi di Siri Dunia Final, Dubai pada 6 Jun nanti.
 
Nyata bagi Ivan, hanya 1 misi yang ingin dicapai di kejohanan kebangsaan ini iaitu menjadi juara. 
 
Bagi Nicol pula, tanggung jawabnya lebih daripada mencari kejuaraan ke 4nya kerana penampilan dan auranya di gelanggang telah memberi harapan serta inspirasi kepada semua pemain terutamanya pemain remaja yang sanggup beratur untuk mengambil peluang keemasan bergambar  dan berinteraksi bersama Nicol.
 
Dua misi berbeza namun ia menghidupkan suasana skuasy Malaysia.
 
 
 

Advertisement

Must Watch Video