Skip to main content

Rencana

Kehadiran Vingada tidak kena pada masanya

nelo-vingada_1.jpg
JODOH di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Nelo Vingada tidak panjang.
 

Tidak sampai setahun, Vingada meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih hari ini, dengan rekod mengecewakan, iaitu tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan, dengan catatan dua seri.
 
Sejak Frank Lord menjadi jurulatih asing pertama dilantik menjawat kerusi panas itu secara sepenuh masa pada 1983, Vingada mencatat tempoh paling singkat.
 
Hatem Souissi sekadar mengisi kerusi itu secara sementara untuk Pestabola Merdeka 1995 dan kemudian pada Piala AFF 1998 ketika FAM membubarkan pasukan kebangsaan selama setahun gara-gara prestasi mengaibkan di Sukan SEA 1997. Hatem kemudian kembali ke jawatan asalnya untuk skuad pra-Olimpik.
 
Kehadiran Vingada ke tanah air tidak kena pada masanya.
 
Dilantik secara rasmi pada Mei lalu, Vingada mengambil alih daripada Datuk Ong Kim Swee di saat skuad negara tertekan untuk memburu slot pada saingan pra-Piala Asia.
 
Diletakkan sekumpulan dengan Lubnan, Hong Kong dan Korea Utara – ketiga-tiganya berada pada ranking lebih tinggi daripada Malaysia, ia dianggap misi membunuh diri buat Vingada.
 
Ditambah pula dengan kaedah lama termasuk mengambil masa yang panjang memberi taklimat pasukan, Vingada gagal memberi komunikasi berkesan kepada pemain, apatah lagi generasi hari ini cepat bosan dan tidak memiliki kepatuhan tinggi.
 
Dalam antara sidang akhbar awalnya, Vingada menganggap pengalaman membimbing Arab Saudi boleh dijadikan panduan tetapi beliau lupa Yousef Al Thuniyan, Khalid Al Muwallid, Mohamed Al Deayea, Sami Al Jaber, Fouad Amin dan Obeid Al Dosari yang membantu negara itu menjuarai Piala Asia AFC pada 1996 jauh lebih berkualiti daripada material di Malaysia.
 
Tan Cheng Hoe dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Vingada, apatah lagi hanya satu tugasan besar pada 2018 iaitu Piala AFF selepas melengkapkan jadual pra-Piala Asia menentang Lubnan di Beirut Mac nanti.
 
Cheng Hoe yang menikmati kejayaan bersama Kedah selepas menimba ilmu selaku penolong kepada Rajagobal di peringkat senior pada 2009-2013 dan sebelum itu di pentas remaja sejak 2004 harus menyahut cabaran mengikut jejak langkah jurulatih tempatan seperti Dollah Salleh, Norizan Bakar, Abdul Rahman Ibrahim dan Rajagobal merencanakan hala tuju rakan senegaranya.
 
Tidak dinafikan Rajagobal adalah jurulatih tempatan paling berjaya dengan mengutip pingat emas Sukan SEA 2009 disusuli kejayaan Piala AFF pada 2010.
 
Apakah Cheng Hoe mampu mengikut jejak langkah sifunya, sambil memadamkan nama Vingada daripada ingatan peminat tempatan?

Jika Cheng Hoe diberi lesen besar tanpa sebarang campur tangan, beliau harus memilih pemain terbaik dengan menggabungkan beberapa pemain senior dengan tenaga muda mengikut acuannya. Tidak mustahil Malaysia mampu bersaing kelak.

Advertisement

Must Watch Video