RENCANA
Kedah perlu kreatif
Kegagalan jentera serangan Kedah menyempurnakan peluang-peluang yang dimiliki ketika bertemu Felda United di laman sendiri dalam perlawanan pertama peringkat separuh akhir Piala FA 2019 mengundang kegelisahan dalam kalangan penyokong mereka setelah hanya mampu membawa bekalan satu jaringan ke Jengka.
Walaupun menguasai perlawanan, penyerang utama Kedah seperti Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman tidak berjaya memperdayakan penjaga gol utama Felda United, Norazlan Razali, yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan.
Dan sekiranya Kedah ingin layak ke perlawanan akhir Piala FA 2019, mereka perlu melakukan perubahan dalam corak serangan dan taktikal serta strategi yang lebih kreatif dan berkesan.
Iklan
Melihat kepada corak permainan dalam perlawanan pertama Kedah, mereka hanya bermain dengan satu arah serangan dengan mengunakan kekuatan pemain sayap dan pertahanan kiri dan kanan untuk melakukan hantaran-hantaran lintang buat Rodriguez dan Bauman melakukan tandukan memburu gol.
Namun, strategi itu telah dibaca oleh Felda United apabila mereka hanya menunggu dan bertahan di kawasan sendiri sebelum melakukan serangan balas ketika dalam keadaan yang sesuai.
Di sinilah jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak, perlu menuntut kreativiti pemain-pemain tengah mereka, terutama Baddrol Bakhtiar dan Edgar Bernhardt, untuk mempelbagaikan corak serangan, seperti banyak melakukan hantaran satu dua di zon 14 (di luar kawasan penalti).
Di samping itu, mereka harus memberanikan diri mengambil risiko dengan meletakkan diri secepat mungkin untuk berada di kawasan penalti, sebaris pemain penyerang kerana dengan lebihan pemain di dalam kawasan serangan, mereka akan memberi tekanan kepada benteng pertahanan Felda United.
Ia akan memberi ruang kepada pertahanan untuk sama-sama di kawasan lawan serta membuka ruang kepada mereka untuk melakukan rembatan jarak jauh.
Dengan pelbagai corak serangan dan kreativiti serta ada elemen-elemen kejutan daripada gerakan individu pemain Kedah, itu akan membuka peluang kepada mereka untuk ke perlawanan akhir Piala FA 2019 kerana pasukan Kedah akan menghadapi satu lagi jalan sukar apabila bakal bermain di atas padang rumput tiruan dalam perlawanan kedua di Jengka.
Must-Watch Video



