Skip to main content

Rencana

Ke Napoli ke Rodriguez?

james-rodriguez.jpg
Setiap empat tahun, Piala Dunia FIFA bukan sahaja menampilkan kenangan-kenangan istimewa kepada barisan penyokong di serata dunia tetapi turut menjadi pelantar pemain bola sepak untuk menyerlah, sekali gus memahat nama mereka di mata dunia.

Piala Dunia 2014 di Brazil membuka peluang buat James Rodriguez untuk menyinar -- pemain kebangsaan Colombia itu menamatkan saingan selaku penjaring terbanyak dan memenangi Kasut Emas.

Aksi cemerlangnya berjaya menarik perhatian gergasi Sepanyol, Real Madrid, untuk membawa bintang Los Cafeteros itu ke Santiago Bernabeu, sama seperti apa yang dilakukan dengan beberapa bintang sebelumnya.

Dengan 13 jaringan dan 13 bantuan jaringan, Rodriguez terus mengukir magis dalam musim pertamanya di Bernabeu ketika dibimbing oleh bekas pengendali, Carlo Ancelotti. 

Bagaimanapun, selepas pengurus kelahiran Itali itu meninggalkan Los Blancos, segalanya tidak lagi sama buat pemain tengah itu berikutan kedatangan Zinedine Zidane.
 
Di sebalik menghasilkan 24 jaringan, meledak 11 sementara melakukan 13 bantuan jaringan, pengendali kelahiran Perancis itu tidak memberikan waktu permainan secukupnya kepada Rodriguez sehingga dia mencari jalan untuk meninggalkan pasukan.

Bagi mendapatkan waktu permainan, Rodriguez membawa diri ke Jerman dengan menyertai Bayern Munich secara pinjaman untuk disatukan semula dengan Ancelotti pada 2017. 

Pemain itu berjaya menemui sentuhan pada musim pertama bersama The Bavarians, meledak tujuh gol dan menghasilkan 11 bantuan jaringan untuk menjuarai gelaran Bundesliga.

Malangnya, pemain berusia 28 tahun itu gagal meneruskan persembahan cemerlang bagi musim 2018/19 di bawah pimpinan Niko Kovac. 

Pemain pinjaman Real itu hanya tampil beraksi dalam 13 perlawanan, dengan pengendali kelahiran Croatia itu lebih memberikan peluang kepada Leon Goretzka dan Thiago. 

Di sebalik kurang waktu bermain, Rodriguez masih lagi berjaya meledak 10 gol tetapi tidak berdaya untuk menarik perhatian jurulatih baru itu.

Pinjaman selama dua musim pemain itu kesudahannya berakhir musim panas ini dan Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, mengesahkan dalam satu temubual dengan SportBild menyatakan Rodriguez memilih untuk meninggalkan Bayern.

Selepas tempoh beraksi di Allianz Arena sudah berakhir sementara hatinya tidak lagi terpaut di Madrid, ke mana harus Rodriguez pergi demi masa depannya?

Di sebalik prestasi terbaik dan mengecewakan bersama dua gergasi Eropah itu, Rodriguez merupakan salah satu pemain yang memiliki tahap kemahiran yang tinggi dan masih lagi salah satu pemain yang berada dalam radar kelab ternama.

Demi kelangsungan kariernya serta terus memastikan sentuhannya tidak terabai, perpindahan ke Itali bersama Napoli dilihat sebagai talian hayat buat pemain kebangsaan Colombia itu.

Gagal diletakkan di posisi terbaiknya bersama Real dan Bayern menyaksikan dia gagal memberikan impak yang berkesan tetapi bersama Napoli, Rodriguez dilihat mampu mengisi posisi nombor 10.

Selepas legenda kelab, Marek Hamsik, mengambil keputusan untuk berhijrah, Napoli memerlukan pengganti dan Rodriguez dilihat sebagai calon yang sesuai.

Napoli sebelum ini menjadi pasukan buat pemain-pemain mendapatkan peluang kedua untuk beraksi cemerlang. 

Gonzalo Higuain tiba di Itali dan berjaya membangkitkan semula kariernya selepas tidak lagi diperlukan Real Madrid. Dries Mertens dan Jose Callejon pula tiba di Naples sebagai pemain yang berpotensi dan kini sudah seiring kalangan elit dunia.

Ditambah pula Napoli kini dibimbing Ancelotti memudahkan bintang Colombia itu menyesuaikan diri di Itali.

Bagaimanapun, tiada persetujuan yang dicapai di antara kelab dan pemain berkenaan sementara Real bergelut dalam persiapan menghadapi musim baru. 

Atau barangkali kebolehan Rodriguez sesuatu yang diperlukan semula oleh skuad bimbingan Zidane itu.

Advertisement

Must Watch Video