Skip to main content

Rencana

Ke mana Ahmad Fazli Sham untuk musim 2018?

25916fazli_sham.jpg
Orang kebiasaan mungkin kurang mengenali nama Ahmad Fazli Sham Walat, namun tidak kelompok individu yang dambakan bau minyak tuti dan bahang kepanasan di litar lumba. Ahmad Fazli Sham adalah satu susuk yang boleh dianggap penting dalam kejuaraan Cub Prix.

Memulakan karier pada tahun 2002 bersama pasukannya sendiri, Chicanos Racing Team, Fazli dan rakan-rakan bersandarkan pengetahuan sebagai mekanik kampung di pekan Taiping mempamerkan pengetahuan kejuruteraan jentera yang bijak apabila berjaya mengubah Honda Cub untuk ujian pecut, dan mereka menang. Sejak itu namanya meningkat naik.

2003 menyaksikan Fazli disunting Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, dan dia tidak menunggu lama untuk mencipta nama dalam arena Cub Prix. Kemuncak karier dia pernah muncul juara kategori expert pada tahun 2007 dan 2008. Fazli pernah berpindah ke pasukan lain, Penzoil Fastrac Racing Team pada 2011, bersama-sama adiknya Ahmad Fazrul Sham. Tapi dia hanya semusim sahaja bersama pasukan itu sebelum kembali ke pangkuan Yamaha Maju Motor.

“ Masa mula-mula balik ke Yamaha Maju, saya agak bergelut, tapi mujur tahun lepas saya berjaya dapat balik prestasi saya”

Fazli Sham menamatkan saingan tempat kedua kategori CP 130 di belakang rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayuddin yang ketika itu berumur 16 tahun.

Banyak yang telah dilalui Fazli sepanjang 14 tahun bersama Yamaha Maju Motor, dan untuk 2018 Fazli sahkan jodohnya tidak lagi bersama pasukan yang sebati dengan warna jentera turquoise putih itu.

“Saya dah berumur 35 tahun, kalau zaman dahulu umur macam saya boleh lagi, namun sekarang banyak pelumba muda, susah untuk saya nak kejar”

“ Saya sudah merasai menang 7 daripada 10 pusingan dalam satu musim, sama seperti Kasma lakukan, jadi mungkin sekarang sudah tiba giliran budak-budak baru untuk naik pula”

Kata-kata Fazli Sham seakan dia sudah mahu undur diri dari arena Cub Prix. Namun dia tegaskan sudah tidak lagi bersama Yamaha Majur Motor, dan ini adalah persetujuan bersama dilakukan Fazli dan pihak pasukan.

“Mungkin saya tubuh pasukan saya sendiri, atau buka akademi, ataupun pergi ke pasukan lain, semuanya tak pasti lagi” ujar pemilik gelaran AFS 46 ini.

Advertisement

Must Watch Video