Skip to main content

Rencana

Kata-kata Hodak makan diri?

bojan-hodak.jpg
'Dua tahun berturut-turut final dan satu piala' - Ia kejayaan yang dibawa Bojan Hodak bersama skuad B-19 negara, namun tidak menjamin kedudukannya untuk terus menabur bakti dengan pasukan muda kebangsaan.

Beliau yang mesra dipanggil 'Coach Bojan' ditunjukkan jalan keluar oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah badan induk itu memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya yang akan berakhir hujung Julai ini.

Hodak mencetus kontroversi apabila bertindak mengkritik sistem bola sepak negara sejurus selepas anak buahnya tewas buat kali kedua di Kejohanan Piala Sanix Fukuoka, Jepun.

Kritikan bekas jurulatih Kelantan itu mengundang rasa kurang senang FAM yang menyifatkan tindakannya itu sebagai tidak bertanggungjawab terhadap keputusan kurang baik yang diraih pasukan.

Walaupun sudah dijangka, keputusan itu tetap mengejutkan ramai pihak kerana skuad B-19 negara itu ada kejayaan di bawah bekas ketua jurulatih Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Mereka bukan sahaja mencipta sejarah layak dua kali ke pentas final Kejohanan AFF B-19 dan muncul juara kejohanan itu pada 2018, malah turut melangkah secara merit ke Kejohanan AFC tahun lalu.

Berdasarkan pencapaian yang diraih, kedudukan Hodak wajar dipertimbangkan FAM, namun gara-gara kelantangannya bersuara mungkin menyebabkan FAM hilang pertimbangan.

Ia ibarat "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya".

FAM bagaimanapun, menafikan keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan Hodak berkenaan, sebaliknya badan induk itu mahu menyuntik falsafah baru dalam skuad pelapis kebangsaan.

Difahamkan, penolong jurulatih skuad B23 negara, Brad Maloney, akan dilantik untuk menggantikan tempat Hodak sebagai jurulatih skuad B-19 negara.

Advertisement

Must Watch Video