Berambut kerinting lebat mengerbang, sekali pandang macam Bintang Liverpool, Mohammed Salah yang mewakili Mesir di Piala Negara Negara Afrika (AFCON) tetapi individu yang dimaksudkan adalah Akram Afif, senjata pemusnah utama Qatar pada kempen Piala Asia 2023.

Akram berusia 27 tahun merupakan penyerang kelab Al-Sadd yang beraksi di Qatar Stars League, sememangnya mencuri tumpuan dengan gerakan berbahaya dan jaringan cantik untuk setakat ini mengumpul 5 gol.

Akram memiliki 147,000 pengikut di laman sosial Instagram yang diletakkan dalam mode private, hanya ketinggalan 1 gol dibelakang Aymen Hussein yang sudah pun mengucapkan selamat tinggal bersama Iran untuk kempen kali ini, begitu juga pencabar terdekat, Ayase Ueda yang merekod 4 gol sebelum mengundurkan diri bersama Jepun dari Qatar.

Ia menyaksikan peluang cukup cerah buat Akram yang menjadi pemain Qatar pertama beraksi di La Liga dengan menyertai Villareal pada 2016 itu untuk dinobat pemilik Golden Boot dengan hanya perlu menyumbat masuk 2 gol di pentas akhir menentang Jordan pada Sabtu ini.

Sewaktu Qatar muncul juara edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Akram mencipta sensasi apabila merekod 10 bantuan gol ketika rakan sepasukan, Almoez Ali diraikan sebagai penjaring terbanyak dan pemain paling bernilai kejohanan. Almoez yang juga kapten kelab Al-Duhail bagaimanapun dilihat bergelut untuk mengembalikan zaman kegemilangannya itu dengan hanya meledak 2 gol setakat ini. Mungkin ini adalah masanya untuk Almoez set up gerakan cantik untuk Akram menjaringkan lebih banyak gol buat pasukan – sekurang-kurangnya, kasut emas dan kejuaraan tetap menjadi milik Qatar buat dua edisi berturut-turut.