Skip to main content

Rencana

Kasihan Bale dilayan bagai ‘pecacai’

bale_1.jpg
Sesiapa saja boleh membayangkan betapa luluhnya hati Gareth Bale ketika ini.

Daripada status wira buat Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara (UCL) 2018 di Stadium Olimpiyskiy, Kiev, Ukraine pada 26 Mei 2018, dia kini diumpamakan tidak lebih daripada “pecacai tua angkat najis”.

Presiden Real Madrid, Florentino Perez, masih menaruh sedikit simpati terhadapnya dengan mengharapkan pemain sayap berusia 30 tahun itu masih boleh dimanfaatkan kudratnya.

Tapi, tokoh perniagaan, jurutera awam dan bekas ahli politik berusia 72 tahun itu juga tidak mampu melakukan lebih daripada itu.

Memberikan mandat sepenuhnya kepada Zinedine Zidane dalam merencanakan pembinaan semula pasukan musim ini, pengurus Los Blancos itu tidak mahukan Bale berada dalam skuadnya lebih lama, malah kalau boleh, angkat bungkus segera.

Zidane tidak pun bersendirian dalam pendiriannya kerana penyokong di Santiago Bernabeu juga tidak boleh bersabar lagi dengan pemain berjersi nombor 11 itu yang sudah kerap dicemuh dan diiringi siulan setiap kali ditampilkan, baik dalam kesebelasan mahupun selaku pemain gantian, sepanjang musim lalu.



Barangkali mudah untuk sesiapa yang lain menjatuhkan hukuman tetapi Bale – yang didatangkan ke Madrid dengan perpindahan rekod dunia €100 (RM462j – kadar hari ini)  daripada Tottenham pada 2013 dengan kontrak enam tahun – adalah seorang profesional.

Masih berbaki tiga tahun daripada kontrak lanjutannya, Bale yang bergaji €300,000 (RM1.38j) seminggu, tidak akan mudah angkat kaki begitu saja melainkan ada bidaan daripada kelab besar ke atasnya.

Kelab lamanya, Spurs, dikatakan berminat tapi menuntut Real Madrid menampung sebahagian gaji pemain itu sebagai syarat persetujuan.

Zidane mungkin tahu sesuatu dengan kenyataan terbarunya hari ini membayangkan pemain yang pernah berjasa kepadanya itu mungkin terlerai ikatannya dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikut – selepas pemain itu langsung tidak tersenarai ketika Real Madrid tunduk 1-3 kepada Bayern Munich dalam saingan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Houston, Texas.

Perpindahan Cristiano Ronaldo daripada Bernabeu pada akhir musim 2017/18 – disertai peletakan jawatan Zidane -- dilihat ramai sebagai memberikan talian hayat buat Bale untuk tampil selaku penggempur utama, mula-mula di bawah Julen Lopetegui dan kemudian, Santiago Solari.

Malangnya, beberapa siri kecederaan dan rentetan kemerosotan prestasi beransur-ansur membuat Bale semakin tersisih hinggakan kehadirannya dianggap satu bonus manakala ketiadaannya pula satu kelaziman.



Dalam pada itu, dia juga bukanlah seorang yang tidak langsung menyumbang.

Bale sudah menjaringkan lebih 100 gol untuk Real Madrid dalam semua kejohanan, dengan golnya yang ke-100 tiba dalam kemenangan 3-1 ke atas Atletico Madrid dalam saingan LaLiga di Wanda Metropolitano, 9 Februari lalu.

Statistik terkini menunjukkan daripada 231 perlawanan, Bale menyumbat 102 gol dan 65 bantuan jaringan – mengatasi dua Galacticos sebelumnya, Zidane sendiri, dan Luis Figo – yang turut memberikannya satu trofi LaLiga, satu Copa del Rey dan empat kali juara UCL, termasuk menjaringkan gol dalam dua daripada final berkenaan.

Dua golnya – salah satu hasil sepakan akrobatik gemilang – selepas kedudukan terikat 1-1 dengan Liverpool di Kiev, 14 bulan lalu, untuk Real Madrid dinobat juara UCL tiga musim berturut-turut, kekal sebagai yang paling diingati.

Tapi setahun dalam bola sepak adalah satu jangka masa yang terlalu lama – apatah lagi dalam situasi yang dilalui Bale.

Harap-harap dia akan cepat menemui satu pasukan baru yang menghargainya untuk dia mengubati hatinya yang lara – atau ia akan menjadi kifarah buat Zidane.

Advertisement

Must Watch Video