Skip to main content

Rencana

Kapan away? Perlukah kita ke GBK? (bhg 2)

cover-2.jpg
Takdir menentukan skuad senior negara akan sekali lagi bertandang ke Indonesia bagi perlawanan pembukaan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022, dengan Stadium Gelora Bung Karno (GBK) berkemungkinan menjadi venue perhitungan itu 5 September depan.

Seperti kebiasaan, perlawanan itu dijangka akan dilimpahi penyokong fanatik Garuda.

Namun, pemain negara telah membuktikan mereka masih mampu mendiamkan lautan penyokong Merah Putih itu dalam beberapa aksi penting sebelum ini.

Berikut merupakan beberapa kejayaan Harimau Malaya di bumi Indonesia:

1. Final Piala Suzuki AFF 2010

Berbekalkan tiga gol daripada perlawanan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil -- ihsan jaringan Safee Sali dan satu daripada Ashari Samsuddin -- Malaysia turun ke GBK dengan tekanan hebat daripada penyokong Indonesia.

Namun, Khairul Fahmi Che Mat menyelamatkan sepakan penalti awal kapten Indonesia, Firman Utina, sebelum Safee menjaringkan satu gol lagi bagi meletakkan Malaysia selesa dengan kelebihan 4-0 secara agregat di samping gol di laman lawan.

Indonesia cuba mengejar dengan jaringan Mohammad Nasuha dan Muhammad Ridwan, namun ia telah terlambat untuk menghalang kejuaraan Malaysia yang sebelum itu terpaksa menaiki Barracuda ke stadium gara-gara ancaman penyokong Indonesia.

2. Final Sukan SEA 2011

Setahun selepas kejayaan dalam Piala Suzuki AFF, skuad B-23 negara turun ke Jakarta bagi menghadapi Sukan SEA.

Malaysia menewaskan tuan rumah itu 1-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di GBK dan kedua-dua pasukan kembali bertemu dalam penentuan pingat emas.

Kekalahan awal itu membuatkan kebencian penyokong Indonesia semakin meruap-ruap menjelang aksi final itu.

Penyokong Malaysia menerima serangan paling hebat di media sosial dengan pebagai penghinaan, termasuk yang bersifat politik daripada penyokong Indonesia.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee, mendakwa hotel penginapan pasukannya diserang dengan letusan bunga api dan mercun yang mengganggu tidur pemain-pemainnya.

Seperti tahun sebelumnya, skuad negara masuk ke GBK untuk perlawanan akhir, juga dengan menaiki Barracuda.

Namun, itu tidak menghalang semangat juang Harimau Muda untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun sebelumnya.

Malaysia ketinggalan seawal minit kelima gara-gara jaringan Gunawan Dwi Cahyo, sebelum menyamakan kedudukan menerusi gol "tandukan menyembah bumi" Asraruddin Putra Omar berselang setengah jam.

Perlawanan diheret hingga ke penentuan sepakan penalti dan Khairul Fahmi menyelamatkan dua sepakan Indonesia sebelum kapten, Baddrol Bakhtiar, menyempurnakan sepakan terakhir.

3. Separuh akhir Kejohanan AFF B-19 2018

Serentak dengan berlangsungnya Piala Dunia di Russia, skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak juga sedang berjuang mati-matian dalam Kejohanan AFF B-19 di Sidoarjo, Jawa Timur.

Malaysia menjuarai Kumpulan B sebelum bertemu Indonesia dalam separuh akhir di Stadium Gelora Delta.

Perlawanan berlangsung seimbang dengan ayam tambatan tuan rumah, Egy Maulana Vickri, menjaringkan gol sepakan penalti seawal minit pertama sebelum Muhammad Syaiful Alias menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Perlawanan diheret ke penentuan penalti sebelum Malaysia ke final dengan kemenangan 3-2.

Sejurus selepas meraikan kejayaan itu, pemain negara dihujani dengan lontaran objek seperti botol minuman dan batu untuk meninggalkan padang.

"Mereka membaling botol minuman dan batu ke arah kami, mujur kami sempat lari keluar meninggalkan padang. Kami bernasib baik tiada siapa yang cedera," kata Hodak seperti yang dipetik NST.

Tiga situasi itu sudah cukup untuk menunjukkan risiko yang dihadapi pemain ketika bertandang ke Indonesia.

Jika pemain perlu menghadapi risiko seperti itu, lalu apakah jaminan buat penyokong yang lebih terdedah kepada bahaya yang lebih besar di tempat duduk penonton?

Pemain Malaysia pastinya sudah lali dengan situasi seperti itu dan mereka telah membuktikan bahawa mereka mampu menundukkan Indonesia tanpa sokongan secara langsung peminat di sana.

Seharusnya faktor keselamatan diletakkan sebagai keutamaan dan cabaran "kapan away?" itu juga perlu dibiarkan berlalu sebegitu sahaja.
 

Advertisement

Must Watch Video