Skip to main content

Rencana

Kan dah kena halau

ozil.jpg
Jika peminat bola sepak dunia masih ingat dalam Piala Dunia Russia 2018, antara pasukan dengan nama besar yang tersingkir awal daripada saingan adalah Jerman. 

Selain isu prestasi di atas padang, skuad bimbingan Joachim Low itu turut terpalit dengan isu perkauman membabitkan tonggak utama mereka, Mesut Ozil.

Ozil dikritik hebat peminat Die Manschaft apabila memuat naik gambarnya bersama ahli politik Turki, yang mana gambar itu seolah-olah menggambarkan Ozil tidak patriotik kepada negara Jerman.

Susulan dikritik hebat, Ozil akhirnya membuat keputusan untuk bersara daripada arena antarabangsa yang mana keputusannya merupakan kerugian besar buat pasukan Jerman.

Terbaru, media antarabangsa melaporkan wujud usaha untuk memujuk Ozil agar kembali semula beraksi mewakili negara Jerman. 

Pengendali Jerman, Joachim Low, dan pengurus pasukan, Oliver Bierhoff, dikhabarkan terbang ke London untuk bertemu Ozil dan meredakan ketegangan antara Ozil dan pihak pengurusan Jerman.

Namun, apa yang lebih menarik ialah apabila kelab yang diwakili Ozil, Arsenal, menerusi pengurusnya, Unai Emery, tidak membenarkan dua individu itu memasuki pusat latihan di Colney, London. 

Kedatangan mereka tidak dialu-alukan di Arsenal dan nampaknya usaha mereka tidak membuahkan hasil.

Penulis percaya situasi sebegini boleh dijadikan pengajaran pada masa akan datang kepada pihak terbabit agar bijak mencari jalan penyelesaian dan bukan menuding jari dan meletakkan kesalahan kepada satu individu sahaja. 

Nasi sudah pun menjadi bubur, penulis percaya Ozil pasti tidak akan mengubah keputusannya untuk menggantung but buat Jerman dalam masa terdekat.

Advertisement

Must Watch Video