Skip to main content

Rencana

Kami bersama anda Kumar

kumar191217.jpg
Tidak lengkap tahun 2017 kiranya saya tidak menyentuh sedikit tentang situasi yang melanda antara penjaga gol hoki terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara kita.

Angin tak ada ribut pun tak ada tak ada, tiba-tiba nama penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, menjadi 'trending' dua minghu lalu selepas disahkan positif ujian doping ketika beraksi dalam Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Menurut laporan, Kumar didapat bersalah menggunakan bahan terlarang sibutramine oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), sekali gus menyaksikannya mungkin perlu berdepan hukuman penggantungan sementara selama dua tahun.

Penjaga gol berusia 38 tahun itu juga memutuskan untuk tidak mencabar sampel B, sebaliknya mahu terus membela diri pada sesi pendengaran yang dijadual berlangsung bulan depan.

Kumar? Tak mungkinlah. Itu yang kali pertama terdetik di hati saya selepas membaca segala laporan membabitkan penjaga gol berusia 38 tahun itu.

Sebagai seorang yang mengenali  pemain yang sering memakai jersi bernombor 16 itu, amat sukar untuk saya menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan kesalahan yang dilakukan oleh Kumar.

Tidak mungkin seorang pemain yang tidak mempunyai masalah disiplin, tidak berfoya-foya dan sosial selain begitu setia menyarung jersi skuad negara pada usia yang sudah senja itu, sengaja mengambil bahan terlarang.

Selepas melakukan 295 penampilan bersama Malaysian Tigers sanggup Kumar melakukan perkara sedemikian? Tidak mungkin.

Berdasarkan pemahaman saya, sibutramine adalah bahan yang terdapat dalam pil pelangsing atau makanan untuk tujuan menguruskan badan.

Peliknya mengapa pula Kumar perlu menguruskan atau menurunkan berat badan sedangkan langkah itu hanya akan semakin menjejaskan prestasinya ketika beraksi?

Malah, Kumar sendiri menafikan sengaja mengambil minuman atau makanan bertujuan untuk menurunkan berat berat. Tegasnya, kesemua makanan tambahan yang diambil adalah daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Kumar juga bertegas untuk tidak mencabar sampel B kerana baginya ia adalah proses yang membuang masa. Justeru, dia lebih bersedia untuk terus membela diri pada sesi pendengaran.

Banyak betul dugaan yang dihadapinya. Pada 2010, ketika beraksi bersama skuad negara dalam Sukan Komanwel di New Delhi, India, Kumar kehilangan bapanya.

Kemudian dua tahun lalu pula, dia kehilangan anak kedua, Harshenn, 3, ketika berada di Antwerp, Belgium untuk menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Kumar terpaksa meninggalkan pasukan dan bergegas pulang ke Malaysia untuk menyempurnakan upacara pengebumian anak kesayangannya itu.

Sekarang, ketika sedang berdepan situasi sukar yang sudah diketahui oleh rata-rata rakyat Malaysia, Kumar sebenarnya sedang menanggung kerisauan apabila anak ketiganya, Siddtaa Pavanaj, yang baru berusia sembilan bulan ditahan di hospital kerana jangkitan pada paru-paru.

Bapa mana yang tidak risau dengan tahap kesihatan anak, lebih-lebih lagi pernah berdepan detik pahit kehilangan anak tersayang yang tidak akan kembali lagi ke dunia ini.

Kepada Kumar, bertabahlah menghadapi segala dugaan ini. Liku hidup seorang legenda sememangnya penuh kenangan pahit manis dan anda sedang melaluinya sekarang. 

Pada mata saya, anda adalah legenda yang telah banyak berjasa pada hoki negara. 

 

Advertisement

Must Watch Video