RENCANA
Kalah Dalam Menang
Pasukan Harimau Malaysia yang dibimbing anak tempatan, Datuk Ong Kim Swee, berjaya mendapatkan tonik kemenangan apabila menumbangkan pasukan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan terakhir sebelum bermulanya saingan Piala AFF 2016.
Keputusan 2-1 disifatkan amat penting buat semua pemain kebangsaan kerana ia memberikan keyakinan dan motivasi buat seluruh kem Harimau Malaysia yang bakal ke Yangon minggu ni.
Namun, di sebalik kemenangan tersebut, sejujurnya terlalu banyak lagi yang perlu dibaiki oleh pasukan bola sepak Malaysia.
Iklan
Saya percaya siapa yang menyaksikan perlawanan di stadium mahupun di rumah pasti muak dan juga marah dengan corak permainan skuad negara.
Kucar-kacir, corak bertahan yang tidak sistematik, tiada jeneral yang benar-benar mengemudi jentera tengah dan kurangnya kualiti dalam melakukan serangan balas, ditambah pula kelonggaran dalam aspek bertahan mahupun serangan, di mana ia seolah-olah memberitahu peminat bahawa tahun ini Malaysia bukan sekadar tidak mampu muncul juara, malah belum tentu lagi mampu menjadi pencabar utama.
Diletakkan dalam Kumpulan B bersama Kemboja, Vietnam dan tuan rumah Myanmar, Malaysia boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu berdepan pasukan handalan seperti Thailand, Indonesia , Filipina dan Singapura yang berada dalam Kumpulan A.
Biarpun begitu, kemungkinan untuk skuad negara tersingkir awal di peringkat kumpulan tetap ada. Dengan Vietnam yang menduduki tangga ke-136 ranking dunia, dan tuan rumah, Myanmar, yang juga berada di ranking ke-156, Harimau Malaysia mungkin terpaksa bekerja keras jika mahu mencipta kemenangan bertemu Vietnam dan Myanmar dan mungkin peluang mudah untuk mengutip tiga mata adalah bertemu Kemboja.
Selaku finalis edisi 2014, adalah satu malapetaka jika kita gagal sekurang-kurangnya melangkah ke peringkat separuh akhir.
Tidak keterlaluan jika kita membuat perbandingan skuad kini dengan skuad pada 2010 (juara AFF) dan skuad 2014 (finalis AFF). Jika pada 2010, skuad negara ketika itu dilihat mantap di setiap posisi, di mana acuan pemainnya adalah hasil daripada program ‘Harimau Muda’, dan pada 2014 di bawah bimbingan Dollah Salleh, kita dapat lihat keseimbangan di antara pemain senior dan junior.
Tetapi untuk skuad kali ini, harus diakui bahawa Datuk OKS tersepit kerana isu ‘persaraan’ pemain utama selain kurangnya pilihan pemain sedia ada yang tenggelam dengan kehebatan aksi awang import.
Mungkin itu adalah punca mengapa ada antara pemain yang dipilih mewakili skuad kebangsaan sebenarnya tidak berjaya merebut kesebelasan utama bersama pasukan kelab atau negeri, ada pemain yang sudah lama tidak menjaringkan gol dan ada pemain yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan daripada aksi kompetitif.
Bukan menidakkan keupayaan skuad sedia ada untuk saingan AFF, namun berdasarkan prestasi semasa di atas padang, laluan Malaysia dilihat cukup berliku. Berliku bukan kerana kehebatan lawan, tapi laluan berliku hasil ciptaan kita sendiri.
Must-Watch Video