Skip to main content

Advertisement

Rencana

Kaitan Rafael Nadal, Ronaldo & Real Madrid

rafael-nadal.jpg
Apa kaitan antara Rafael Nadal, Ronaldo dan Real Madrid?

Jawapannya adalah bola sepak.

Dalam satu temubual khas yang diadakan sempena Tenis Terbuka Perancis tidak lama lagi, sebuah jenama sukan terkenal negara itu, Babolat, mendedahkan Rafael Nadal mula meleraikan kekeliruan sama ada mahu serius dalam sukan tenis atau bola sepak pada usia sembilan tahun.

Lahir di Sepanyol, pengaruh bola sepak dalam kehidupan seharian tidak dapat dinafikan memberi pengaruh besar kepada Rafa. Namun pada usia muda Rafa sudah diajar untuk membuat keputusan tentang masa depannya sendiri termasuk raket jenis apa yang mahu digunakannya.

Babolat Drive Pure adalah raket pertama yang menjadi pilihan Rafa dan sejak itu dia terus mencipta banyak kejayaan bersama jenama berkenaan. Ironinya, dia kemudiannya mendominasi kejohanan tenis yang cukup sinonim dengan Perancis dan dimainkan di gelanggang tanah liat popular, Roland Garros.

Muncul sebagai pemain paling banyak merekodkan kemenangan, 11 kejuaraan sudah pun dicetak Rafa dalam Terbuka Perancis sejak 2006 - lima tahun selepas bergelar pemain profesional dan ia melebihi separuh daripada gelaran grand slam yang direkodkannya setakat ini.

Rafa turut cemerlang di gelanggang tanah liat lain dengan 57 daripada 80 kejuaraan yang direkodkannya dalam kejohanan yang menawarkan gelanggang jenis ini selain memegang rekod kemenangan terpanjang gelanggang tanah liat, iaitu 81 aksi berturut-turut bagi tenis era moden.

Tetapi, bagaimana Rafa boleh membuat keputusan untuk bermain tenis dan bukannya bola sepak?

Pakcik Rafa, Toni Nadal, yang merupakan bekas pemain tenis, sangat menggalakkan Rafa untuk menceburi sukan ini. Rafa sudah diajar bermain tenis sejak berusia tiga tahun dan menjadikan tenis sebahagian daripada kehidupannya sejak itu.

Sebahagian lagi darah sukan yang mengalir dalam dirinya datang dari seorang lagi pakciknya, Miguel Angel Nadal, bekas pemain bola sepak Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol. Rafa pernah dibawa ke bilik persalinan Barcelona untuk berjumpa dengan legenda Brazil, Ronaldo, yang merupakan idola Rafa ketika itu.

Bagaimanapun, ‘sogokan’ Miguel itu tidak berjaya mempengaruhi Rafa untuk memilih sukan bola sepak - sebaliknya menguatkan perasaan Rafa yang lebih berasakan ia sebagai hobi. Dari situlah Rafa mula mengikuti latihan intensif pakcik Toni dan seperti kata pepatah mat saleh, “and the rest is history”.

Kini pada usia 32 tahun, Rafa masih kukuh sebagai Raja Gelanggang Tanah Liat dan ‘living legend’ sukan tenis yang digeruni seteru sezaman mahupun generasi baharu. 

Dia terus mengikuti perkembangan bola sepak dunia dan menjadi peminat setia pasukan Real Madrid. Agaknya kenapa bukan Barcelona yang pernah didekatinya lebih rapat kira-kira 20 tahun lalu ye?
 

Advertisement

Must Watch Video