Skip to main content

Rencana

Juventus ligat salin pemain

juventus_1.jpg
Nama Juventus dilihat begitu kerap mendapat perhatian media sejak akhir-akhir ini. 

Bermula daripada kemasukan Cristiano Ronaldo dari Real Madrid dengan harga EUR100 juta, The Old Lady dilihat begitu ghairah mendapatkan pemain baru dan dalam masa sama, menjual atau tidak menyambung kontrak pemain lama.

Kemasukan Cristiano Ronaldo ternyata banyak membantu menaikkan kembali nama Juventus. Massimiliano Allegri juga sudah tentu lega kerana adanya Ronaldo dapat membantu menaikkan moral rakan sepasukan.

Namun, di sebalik kemasukan Ronaldo, Juventus memilih untuk membawa keluar beberapa nama penting di bahagian pertahanan, antaranya Gianluigi Buffon, Benedikt Howedes dan Stephen Lichtsteiner. 

Pemergian mereka turut diiringi pemain tengah, Kwadwo Asamoah dan Gonzalo Higuain, yang berhijrah ke AC Milan secara pinjaman. 

Buffon berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) selepas 17 tahun berkhidmat bersama pasukan Juventus manakala Lichtsteiner memilih pasukan Arsenal sebagai pasukan barunya selepas tujuh tahun bermain di Serie A.

Antara pemain yang baru masuk untuk menyertai sesi latihan di Turin pula adalah Emre Can, Marko Pjaca, Joao Cancelo dan Leonardo Bonucci yang kembali semula ke Juventus selepas semusim di AC Milan. 

Sementara itu, pemain kelahiran Brazil, Douglas Costa telah menyertai Juventus secara tetap selepas semusim beraksi secara pinjaman.

Penulis percaya akan ada beberapa lagi pembelian dilakukan Juventus sebagai usaha mahu bersaing di peringkat Eropah bersama kelab elit lain. 

Ada laporan media antarabangsa yang mengaitkan Juventus dengan bintang  bola sepak Perancis, Paul Pogba. Namun, melihatkan kepada senario di Old Trafford, penulis merasakan Pogba akan terus kekal beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) buat masa ini.

Dengan barisan pemain sedia ada, jangan terkejut andai Juventus akan terus mengekalkan kejuaraan serie A musim depan dan juga akan menjadi salah satu pasukan pilihan dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Advertisement

Must Watch Video