Skip to main content

Rencana

Juara di hati komuniti

251116-39-heart-39-athonrun2016.png
Reputasi atlet bukan sahaja diukur di dalam gelanggang, namun cara hidup dan tingkah laku mereka juga diperhatikan.

“Kehidupan bukan selalunya tentang saya semata-mata."

Itu ayat yang dijadikan pedoman oleh para atlet Malaysia ketika terlibat dalam program sukan komuniti dan program belia bagi memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia.

Para atlet negara terutama atlet Olimpik dan Paralimpik Rio 2016, cukup sibuk menghadiri program dan melibatkan diri bersama-sama para peminat dan komuniti.

Baru-baru ini berlangsungnya program komuniti sukan ‘Heart’athon Run 2016 di Universiti Putra Malaysia, yang melibatkan kanak-kanak terutamanya kanak-kanak kurang berkemampuan, para pelajar institusi pengajian tinggi dan golongan masyarakat dengan misi memberi peluang kepada setiap kanak-kanak untuk muncul juara dalam sukan mahupun kehidupan mereka, serta membawa masyarakat bersama untuk menerapkan gaya hidup yang sihat serta memberi sokongan dalam program komuniti.

Penembak dan Olympian negara, Johnathan Wong yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Aeroangkasa), Fakulti Kejuruteraan UPM amat gembira dapat melibatkan diri di dalam acara larian itu, sambil berpeluang berinteraksi dengan kanak-kanak dan berkongsi pengalamannya sebagai atlet elit negara.

“Saya berasa amat bersyukur kerana mempunyai pilihan dan sokongan menjadi atlet terbaik negara. Sebagai atlet kami harus mengambil peluang untuk melibakan diri di dalam program seperti Through Sports We Care yang dianjurkan oleh Sports Warrior Global, untuk memberi inspirasi dan berkongsi perjalanan kami untuk menjadi seorang atlet elit.

"Impian dan harapan itu penting kerana ia akan tercapai dengan kepercayaan diri and usaha keras”. kata Johnathan yang juga bangga dengan inisiatif Akademi Sukan UPM yang diketuai oleh Profesor Dr. Shamala Subramaniam, dalam menyokong program komuniti sukan itu.

Lebih kurang 500 peserta mengambil bahagian dalam acara berpasukan ‘Heart’athon Run 2016 dengan sokongan Team Malaysia yang juga memberi fokus kepada rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama, bersama-sama menyokong atlet dan sukan Malaysia.

Pemenang pingat perak Kejohanan Wushu Dunia 2015, Chai Fong Wei yang menerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan UPM baru-baru ini turut bersama-sama memeriahkan acara dengan kanak-kanak kurang berkemampuan dari pelbagai rumah kebajikan dan para peminat.

“Larian komunti di Edu-Park di bawah Putra Science Park bukan sahaja memberi pendedahan kepada semua tentang keindahan persekitaran tetapi ia juga memberi peluang kepada para atlet seperti saya dan para belia universiti, untuk menunjukkan perasaan kasih sayang kepada masyarakat dan menjadi pemimpin muda dalam memastikan keselamatan para peserta.

"Amat penting bagi para atlet untuk juga fokus kepada hal-hal lain seperti kerja amal dan program pembangunan diri supaya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat selepas bersara daripada sukan”, ujar Fong Wei yang menggalak atlet negara untuk menyumbang kepada komuniti dan menjadi juara sukan serta di hati komuniti dengan keistimewaan tersendiri.

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found