Baru-baru ini kita dapat melihat keputusan perlawanan persahabatan bola sepak wanita dimana Malaysia bertemu India di Stadium Selayang dan juga bertemu Singapura di Stadium UiTM. Skuad wanita negara tewas 0 -2 di tangan India namun berjaya mendapatkan moral kemenangan sebelum bermulanya Sukan Sea apabila menjinakkan Singapura dengan keputusan 1 – 0.

Jika sebelum ini tumpuan banyak diberikan kepada pemain-pemain lelaki skuad bolasepak Harimau Malaya, kali ini Dayang nak ajak pembaca semua mengenali siapakah tonggak-tonggak utama yang membarisi pasukan bolasepak wanita negara kita.

Skuad bolasepak wanita kebangsaan diterajui ketua pasukan yang juga merupakan 'orang lama' iaitu Angela Kais yang sudah pun berusia 35 tahun. Beliau merupakan pemain buat kelab PDRM FC.

Pemain tumpuan berikutnya adalah Nur Haniza Saarani yang merupakan salah seorang penyerang utama skuad bola sepak wanita. Beliau baru berusia 20 tahun dan beraksi buat skuad Perak. Menariknya, Haniza merupakan adik kepada pemain kebangsaan Fakri Saarani dan mereka berdua menggunakan nombor jersi yang sama iaitu 13.

Penjaring gol kemenangan ketika berdepan Singapura iaitu Usliza Usman turut merupakan tonggak utama bagi skuad ini. Berasal dari Sabah, pemain berusia 21 tahun itu merupakan sandaran utama di bahagian tengah dan serangan, sesuai dengan nombor di jersinya iaitu 9.

Namun pemain yang paling mencuri tumpuan Dayang tentunya penjaga gol negara iaitu Nurul Azurin Mazlan yang mempamerkan prestasi meyakinkan ketika siaran langsung pertemuan bertemu India di Astro Arena. Beliau baru berusia 17 tahun dan Dayang teruja melihat kehandalan dan betapa tenangnya Azurin dalam menjaga gawang dari dibolosi, selain kekuatan tendangan dalam melakukan sepakan gol.

Dengan skuad kendalian Asyraff Fong Abdullah ini bakal bertemu Filipina pada perlawanan pertama, dan bertemu Myanmar pada perlawanan kedua, kemenangan dalam kedua-dua perlawanan awal ini amat penting dalam mengejar misi menggapai pingat gangsa untuk temasya Sukan Sea 2017.

Dayang doakan agar kakak dan adik dalam skuad bola sepak wanita kebangsaan mampu menghadiahkan pingat buat rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya melakukan kejutan yang boleh menaikkan nama negara.