Skip to main content

Rencana

Johor Hockey Tigers?

persatuan-hoki-johor.jpg
Saya mencadangkan beberapa nama kepada Sarjit Singh selepas diumumkan jurulatih baru Johor menghadapi Piala Razak 2018.

Tugasnya bukan sekadar di Piala Razak tetapi memastikan Johor raih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 dan tidak mustahil, mengendalikan kelab baru dari selatan tanah air dalam Liga Hoki Malaysia (LHM), Januari depan.

Ia akan jadi penampilan sensasi kerana saya tahu, Sarjit memiliki rangkaian pemain import terbaik dunia yang sedia mencabar LHM.

"Belum ada keputusan rasmi. Baru perbincangan di peringkat awal. Tugas saya ialah Piala Razak dan Sukma 2020.

"Tapi jika kerajaan negeri arahkan saya bina pasukan untuk LHM, saya sudah mempunyai senarai pemain untuk ditawarkan kontrak," kata bekas pengendali negara itu.

Jika pemain tempatan, keutamaan pasti diberikan kepada pemain kelahiran Johor seperti Terengganu Hockey Team (THT). Mungkin Manraj Singh, adik-beradik Aqmal-Hafiq Abdul Ghaffar atau Faiz Helmi Jali.

Selebihnya ambil pemain Sukma, pemain jemputan dan import.

Tetapi, ini terpulang kepada perancangan kerajaan negeri Johor, adakah mereka sanggup melabur dalam hoki selepas Johor lebih sinonim dengan kelab bola sepak, Johor Darul Ta'zim. 

Apa yang pasti, Johor sudah membuat pelaburan besar menerusi pembinaan Stadium Hoki Taman Daya untuk Piala Dunia Remaja 2009, Piala Sultan Johor dan Separuh Akhir Liga Dunia.

Tidak mustahil, Johor mahu menubuhkan pasukan hoki digeruni kerana mereka memiliki stadium, pemain dan pegawai yang berpengalaman.

Ini pasti merancakkan lagi LHM!

Sebelum meninggalkan Sarjit, saya berseloroh: "Johor Hockey Tigers nama yang sedap coach".

Beliau ketawa sebelum meninggalkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, mungkin nama JHT sudah melekat dimindanya.

Advertisement

Must Watch Video