Skip to main content

Rencana

Johor DT menang bergaya

cabrera.jpg
Kejayaan menundukkan Suwon Samsung Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan Kumpulan G Piala Juara-juara Asia membuka kembali peluang Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk merebut tempat ke pusingan seterusnya. 

Kemenangan itu menunjukan kualiti sebenar JDT ketika berhadapan dengan kelab-kelab terbaik Asia dan ini kejayaan yang manis untuk seluruh “bangsa Johor”.

Dengan membuat sedikit perubahan kesebelahan utama ia memberi kelebihan kepada JDT untuk mengimbangi kekuatan lawan. 

Kehadiran Naxo Insa dan Fadhli Shas berjaya mengekang pergerakan pemain-pemain tengah dan penyerang Suwon. 

Itu membawa kelebihan kepada JDT dalam merencanakan gerakan serangan. Dengan kreativiti di bahagian tengah yang dikemudi Nazmi Faiz Mansor dan Afiq Fazail berjaya mengawal tempo permainan mengikut falsafah bola sepak JDT. 

Dua gandingan ini berjaya membuka ruang kepada Gonzalo Cabrera,Safawi Rasid dan Diogo Santos menekan pertahanan Suwon. 

Akhirnya pada minit ke-13, Cabrera berjaya melakukan jaringan melalui sepakan penalti setelah Diogo dijatuhkan di dalam kawasan penalti setelah mendapat hantaran lolos yang cantik daripada Nazmi. 

Perlawanan menjadi semakin menarik dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dengan berbalas serangan. Suwon juga mempunyai peluang melaui penyerang mereka, Adam Taggard, namun ditangkas dengan baik oleh Farizal Marlias sehingga tamat separuh masa pertama.

Bermula separuh kedua, Suwon terus mengandakan serangan untuk mencari gol penyamaan. Mereka mengunakan ketinggian yang ada pada pemain serangan mereka, Terry Antonis, untuk memberi tekanan kepada benteng pertahanan JDT yang diketuai Mauricio. 

Akhirnya Antonis berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan lencong yang menarik menewaskan Farizal dari luar kotak panalti setelah Afiq sedikit lewat untuk memberi tekanan.

Jaringan Antonis itu tidak melemahkan semangat pemain-pemain JDT, sebaliknya mereka terus bangkit memberi tekanan dengan serangan balas serta gerakan yang tersusun daripada Nazmi. 

Akhirnya Nazmi sekali lagi memainkan peranannya sebagai pemain tengah dengan baik sekali apabila berjaya melakukan satu hantaran ke kawasan bahaya dalam kotak panalti yang tepat kepada Mauricio untuk melakukan jaringan kemenangan JDT. 

Jaringan itu memberi tekanan kepada pemain-pemain Suwon namun mereka masih gagal untuk menembusi pintu gol JDT sehingga wisel penamat. 

Inilah kemenangan pertama bergaya JDT dalam Kumpulan G Piala Juara-juara Asia di hadapan peminat-peminat mereka di Stadium Sultan Ibrahim yang disaksikan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.





 

Advertisement

Must Watch Video