Skip to main content

Rencana

Johnathan bingung?

johnathan-wong.jpg
Perasaan bercampur baur buat atlet menembak negara, Johnathan Wong, yang diketepikan dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) musim 2020 dan pada masa yang sama ditawarkan jawatan selaku penyelaras skuad menembak negara.

Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) mencetuskan sensasi apabila memutuskan untuk mengetepikan kelibat pemain senior seperti Johnathan, Muhammad Ezuan Nasir Khan dan Joseline Cheah bagi musim 2020. 

Johnathan tidak menafikan perasaaan kecewa dan terkejut dengan keputusan itu, selepas sudah 11 tahun bersama dengan skuad kebangsaan.  

Bagaimanapun, atlet berusia 28 tahun itu percaya ini adalah salah satu strategi yang direncana badan induk itu bersama MSN dalam misi membangunkan sukan menembak di Malaysia. Namun, dia masih mengharapkan perancangan tersebut turut melibatkan barisan senior yang sedia ada. 

"Kalau saya tengok peluang untuk beraksi dalam kejohanan akan datang agak sukar sedikit dengan kekangan menjalani latihan. 

"Peranan saya adalah untuk bersaing dan melakukan yang terbaik. Tetapi situasi ketika ini yang melibatkan banyak perubahan, saya masih pertimbang apa yang perlu dilakukan," katanya.

Pelajar jurusan jurutera itu pada masa yang sama ditawarkan jawatan selaku penyelaras skuad kebangsaan negara dan dikhabarkan proses dokumentasi kini berada dalam fasa akhir. 

Menurutnya, ini merupakan pendekatan berbeza tentang bagaimana dia masih boleh terus menjadi sebahagian daripada pasukan. 

"Berdasarkan pengalaman, saya rasa saya mampu memikul tanggungjawab itu untuk menyelaras dan membantu para atlet".

Namun, Johnathan turut mengakui tidak bersedia untuk melepaskan sepenuhnya karier selaku atlet negara kerana masih berpeluang mengisi slot untuk kejohanan akan datang seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun 2022 kelak.

Turut menjelaskan, ketika ini Johnathan masih menjalani latihan tetapi tidak menolak kemungkinan akan bersara jika keadaan memaksanya. 

Advertisement

Must Watch Video