Skip to main content

Rencana

JDT, Pahang pilihan, Selangor, Kedah mampu cipta kejutan

trofi-piala-malaysia.jpg
Saingan separuh akhir Piala Malaysia kini memasuki peringkat separuh akhir pertama dan di atas kertas, sudah pasti Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang dilihat sebagai pilihan pemerhati untuk ke pentas akhir musim ini.

Keputusan dalam separuh akhir pertama malam esok akan turut memberi gambaran lebih jelas pasukan mana yang akan meraih kelebihan untuk aksi timbal balik yang akan berlangsung seminggu kemudian.

Selaku juara Liga Super enam kali berturut-turut, JDT jelas cukup ampuh dan berbanding musim lalu, mereka tampak lebih konsisten dalam kemaraan ke separuh akhir musim ini yang jelas menunjukkan keinginan mereka meraih kejuaraan.

Diogo Luiz Santo, Safawi Rasid, Harris Harun dan Mauricio Dos Santos dijangka terus menjadi tonggak sandaran Harimau Selatan untuk menangani cabaran Selangor dalam separuh akhir kali ini.

Selangor di bawah kendalian B. Sathianathan memulakan saingan musim ini dengan rentak kurang konsisten, namun bekas pengendali kebangsaan itu tetap berupaya memastikan Gergasi Merah menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga, pencapaian terbaik pasukan itu dalam liga sejak musim 2015.

Perlu diingat, Selangor kadang-kala ada sentuhan magis tersendiri dalam saingan Piala Malaysia dan dua kekalahan kepada JDT dalam Liga Super sebelum ini mungkin tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan semasa pasukan itu.

Khairul Azhan Khalid, Taylor Regan, Khyril Muhymeen Zamri dan Ifedayu Olusegun dijangka menjadi tunjang utama Selangor dalam misi memburu kejuaraan ke-34 Piala Malaysia.

Pahang, selaku naib juara Liga Super, sejak dari awal musim dicanang sebagai pencabar utama kepada JDT dalam semua pertandingan Liga Malaysia.

Adakalanya, skuad kendalian Dollah Salleh itu mengalami kemerosotan prestasi, namun pada hari terbaik, mereka berupaya menewaskan mana-mana pasukan.

Penyerang import veteran, Dickson Nwakame, kelihatan tidak seampuh dulu tetapi pemain kelahiran Nigeria itu masih mempunyai sentuhan berbisanya yang mampu menjerat pertahanan lawan jika diberikan ruang.

Pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh, pemain tengah bertahan Singapura, Safwan Baharuddin, dan Nor Azam Azih dijangka menjadi pemain lain yang akan terus disandarkan harapan oleh jurulatih pasukan, Dollah, untuk menangani cabaran Kedah dalam separuh akhir.

Skuad Kedah kendalian jurulatih kelahiran Singapura, Aidil Sharin Sahak, adalah pasukan yang boleh dianggap sebagai "Dark Horse" dalam saingan kali ini kerana mereka juga mampu melakar kejutan ke atas pasukan pilihan.

Ia terbukti dalam saingan Piala FA apabila Kedah menewaskan Perak 1-0 selepas masa tambahan menerusi jaringan Fadzrul Danel.

Kedah sebenarnya kehilangan ramai tonggak musim lalu untuk saingan 2019, namun ia tidak menjadi penghalang buat Aidil membentuk barisan berdaya saing dan pastinya, bekas jurulatih Home United itu mempunyai percaturan taktikal tersendiri untuk menjerat keampuhan Pahang.

Shakir Hamzah, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Jonathan Bauman dijangka kekal sebagai sandaran utama Aidil bagi menangani cabaran Pahang kali ini.

Advertisement

Must Watch Video