Skip to main content

Rencana

JDT meniti perangkap maut buru tiga gelaran

17517jdt.jpg
Pemain-pemain dalam kesebelasan Johor Darul Ta'zim (JDT), bahkan di bangku simpanan, bersiap sedialah kerana anda bakal menghadapi cabaran paling getir musim ini, iaitu kepadatan jadual perlawanan.

Selepas gagal mendakap Piala Sumbangsih dan Piala FA pada musim ini, pengendalinya, Benjamin Mora, harus memikirkan formula terbaik untuk meneruskan momentum meraih gelaran pada setiap musim.

Apa tidaknya, menghitung aksi yang bakal ditempuhi JDT selepas Hari Raya nanti cukup memeritkan gara-gara dibayangi hasil undian Piala Malaysia, kelmarin.

Diundi dalam Kumpulan D bersama-sama juara 33 kali, Selangor, di samping Sarawak yang memiliki reputasi mampu mengecewakan pasukan-pasukan besar, sementara kelibat Terengganu pula biarpun mempamerkan prestasi terumbang ambing dalam Liga Perdana, cabaran Sang Penyu tetap tidak boleh dipandang rendah.

Dalam masa yang sama, Harimau Selatan masih berada di landasan tepat selaku pendahulu dalam meniti rentetan kejayaan Liga Super buat kali keempat, namun Mora juga harus memikirkan strategi terbaik dalam aspirasi mereka mengungguli pentas Piala AFC.

Andai berjaya melepasi halangan Ceres–Negros di peringkat separuh akhir Piala AFC saingan zon Asia Tenggara, hujung bulan ini, maka sekali lagi Mora perlu memikirkan percaturan terbaik dalam mengimbangi ketiga-tiga kempen ini pada ketika saingan semakin menuju ke penghujungnya.

Saingan Piala Malaysia bakal bermula pada awal Julai nanti, sambil diselang-selikan dengan jadual Liga Super dan Liga Perdana – perlawanan terakhir liga ditetapkan pada 21 Oktober manakala final Piala Malaysia, seminggu selepas itu.

Jadual Piala AFC pula akan kembali bersambung pada Ogos nanti.

Maka, tidak hairanlah sejak awal-awal lagi, Mora mengambil risiko menurunkan barisan keduanya dalam Piala AFC.

Oleh itu, kem JDT sudah tentu menyedari hakikat ini dan bersiap siagalah kerana kudrat anda akan dituntut di peringkat maksimum, tidak mungkin Harimau Selatan akan mengorbankan antara tiga gelaran ini.

 

Advertisement

Must Watch Video