Skip to main content

Rencana

JDT masih utuh

jdt.jpg
Perebutan takhta Liga Super musim ini menjurus kepada kelibat dua pasukan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang, yang sememangnya bukan rahsia lagi berseteru rapat. 

Selepas 10 perlawanan, kedua-dua pasukan menjadi pasukan tunggal yang belum pernah tewas musim ini, dengan Tok Gajah sedang mengikuti rapat JDT yang berkelebihan dua mata dengan pungutan 26 mata. 

Lihat sahaja carta Liga Super ketika ini. 

Selangor yang dilanda tekanan hebat ekoran keputusan hambar tetapi masih mampu menduduki tangga ketiga, namun jurang mata di antara Gergasi Merah itu dan JDT adalah 10 mata.  

Beberapa pasukan yang pada awalnya disifatkan sebagai pencabar utama, gagal menjelmakan rentak perjuangan yang diharapkan. 

Perak dan Terengganu, misalnya, selepas dijulang di pentas Piala Malaysia tahun lalu, ramai beranggapan mereka setidak-tidaknya mampu memberikan tekanan hebat kerana masih mengekalkan sebahagian besar pemain tempatan. 

Namun, jangkaan itu meleset sama-sekali berikutan aksi terumbang-ambing selain pemain gagal mengulangi sentuhan terbaik sebelum ini. 

Tidak hairanlah penyokong mereka mempunyai sebab untuk meluahkan nada negatif. 

Justeru, pertembungan JDT-Pahang hujung minggu ini bakal menjadi tumpuan utama untuk kita mendapatkan gambaran awal terhadap kemampuan skuad kendalian Luciano Figueroa atau Dollah Salleh itu. 

Selepas disingkirkan PKNS FC dalam Piala FA minggu lalu, sudah pasti Harimau Selatan tidak lagi rela terpalit aib. 

Apatah lagi Pahang berhajat besar untuk menamatkan penantian menjulang Liga Super selepas kali terakhir melakukannya pada 2004. 

Begitupun, Pahang sudah pasti kehilangan penjana kreatif di bahagian tengah, Nor Azam Azih, yang dilayangkan kad kuning kedua ketika bertemu Perak manakala kedudukan Dickson Nwakaeme samar ekoran dibelenggu masalah hamstring. 

Apakah perlawanan ini boleh menjadi titik tolak kepada bayangan sang juara musim 2019, sama ada JDT kekal sebagai kuasa besar Liga Malaysia atau Pahang akan muncul wira penyokong tempatan?

Advertisement

Must Watch Video