Skip to main content

Rencana

Jangan terikut-ikut jadi bodoh

271016-bola-tiang-gol.jpg
Kegagalan dalam memahami apa itu erti profesional telah mendorong perbuatan yang tidak menghormati kerjaya mereka sendiri.

Ini yang sering berlaku kepada pemain-pemain bola sepak di Malaysia di mana segelintir, atau tidak keterlaluan kebanyakan mereka, tidak menghormati kerjaya mereka sendiri.

Contoh yang dapat kita lihat bagaimana sesetengah pemain profesional ini tidak menghormati sesuatu perjanjian yang telah mereka tandatangani – yang menyatakan perkhidmatan yang diberikan itu akan dibayar mengikut kemahiran dan kualiti pada mereka oleh majikan yang mengikatnya terlebih dahulu.

Di manakah nilai integriti dan moral pemain-pemain itu sendiri?

Di manakah kesilapan yang berlaku dan bagaimana jalan penyelesaiannya?

Apakah ini pengajaran yang diperoleh daripada sikap segelintir pemimpin yang berada di dalam sesebuah organisasi itu sendiri yang tidak mengamalkan sikap profesional dan tidak menunjukkan contoh serta teladan sebagai pemimpin yang bijaksana?

Inilah yang perlu kita fikirkan. Perkara ini perlu dipandang serius kerana ia mencerminkan budaya kita pada setiap masa.

Sekiranya kita sebagai seorang pekerja yang tidak menghormati dokumen yang kita tandatangani, ini akan menunjukkan kita tidak bijak dalam membuat keputusan dan mentadbir diri kita sendiri sedangkan perjanjian itu memberi manfaat kepada diri kita sendiri.

Sebagai seorang pemain profesional, kita perlu meletakkan nilai integriti yang begitu tinggi.

Ini disebabkan kita menjadi idola kepada generasi-generasi akan datang.

Sekiranya kita tidak mampu memperlihatkan kematangan dan kebijaksanaan kita dalam mengurus tadbir diri mengunakan akal yang diberi Ilahi ini, kita akan terus dikategorikan sebagai insan yang tidak cerdik, terutama pada ibu bapa yang mengkategorikan sukan bola sepak ini sebagai sukan untuk golongan orang malas. 

Ubahlah persepsi ini kerana sukan bola sepak sebenarnya sukan yang melatih dan mendidik seseorang itu bijak, berdisiplin dan bersikap profesional.

Dengan latihan bersistematik serta semasa perlawanan, ia menuntut pemain bola sepak banyak menggunakan akal untuk merancang serta membuat keputusan yang pantas bagi mencari jalan penyelesaian untuk mencapai objektif memburu kemenangan.

Janganlah jadi seperti seglintir pemimpin yang kononnya bijaksana tetapi sebenarnya tidak demikian disebabkan kemaruk kuasa dan sarat dengan kepentingan peribadi.

Sama -samalah kita berusaha untuk menjadi pemain bola sepak yang mempunyai ilmu sebagaimana objektif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan "The Thinking Athletes" (Atlet-Atlet Yang Berfikir).

Advertisement

Must Watch Video