Skip to main content

Rencana

Jangan terburu-buru Luqman

luqman-hakim-shamsudin.jpg
Perkembangan mengenai hala tuju penyerang skuad B-19 kebangsaan, Luqman Hakim Shamsudin, menjadi tumpuan beberapa media arus perdana dalam tempoh seminggu ini.

Ia membuatkan penulis turut terpanggil melontarkan pandangan buat pemain yang kini bersama skuad Selangor II itu.

Pemain kelahiran Kelantan itu sebelum ini dikaitkan dengan penghijrahan ke kelab Belgium, KV Kortrijk, tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang kata putus sama ada Luqman akan ke kelab itu atau sebaliknya.

Pada pengamatan penulis, Luqman tidak perlu terburu-buru dalam menentukan hala tuju kerjaya profesionalnya.

Bukan tidak menggalakkan Luqman ke Eropah tetapi penulis mahu melihat pemain muda itu bersedia sepenuhnya sebelum menyahut cabaran di luar negara.

Mungkin ada baiknya Luqman kekal bersama Selangor II, cuba merebut tempat dalam skuad utama Selangor musim ini dan beraksi dalam saingan AFC B-19, di Uzbekistan, Oktober depan.

Dengan pengendali Selangor, B.Sathianathan, sebelum ini turut menyuarakan kesediaan memberikan peluang buat pemain Selangor II bersama skuad utama, tidak mustahil untuk Luqman beraksi dalam Liga Super sebelum ke saingan AFC B-19.

Jika berjaya menembusi skuad utama Selangor, ia pasti memberi persediaan terbaik buat Luqman sebelum beraksi dengan skuad B-19 negara dalam saingan AFC.

Perlu diingat, empat pasukan terbaik dalam saingan AFC B-19 akan layak beraksi dalam Piala Dunia B-20 2021 yang akan berlangsung di Indonesia.

Jadi, sudah pasti ia merintis kemungkinan buat Luqman disunting kelab Eropah lain jika cemerlang bersama barisan muda negara, apatah lagi jika mara ke Piala Dunia B-20 2021.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Shahril Mokhtar, juga pernah mengeluarkan kenyataan tiada masalah buat mereka melepaskan Luqman jika dia mahu berhijrah ke Eropah.

Penulis tidak nafikan Luqman seorang pemain berpotensi tinggi sebagai seorang penyerang.

Kerana itu, penulis berharap untuk melihat Luqman mencapai potensi sebenarnya dan jika berkelana ke Eropah, jangan hanya untuk tempoh yang singkat.

Sebelum ini , beberapa pemain negara cuba berkelana di Eropah tetapi tidak kekal lama dan rata-rata mereka akui saingan yang cukup mencabar beraksi di sana.

Mungkin tidak salah buat Luqman mendapatkan nasihat “abang-abang” seniornya yang pernah membuat cubaan berkelana di Eropah seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Juzaili Samion.

Penulis amat berharap Luqman membuat keputusan terbaik demi kelangsungan kerjaya profesionalnya.

Seperti saranan pengendali Selangor, B. Satianathan, “Dapatkan pandangan pakar bola sepak”.

Advertisement

Must Watch Video