Skip to main content

Rencana

Jangan pulang tanpa gelaran juara

hoki_2.jpg
Di atas kertas, pasukan hoki wanita kebangsaan sepatutnya tidak berdepan masalah untuk menjuarai Siri Hoki Dunia pusingan pertama di Singapura dari 23 Jun hingga 1 Julai ini.

Berdasarkan kedudukan ranking Malaysian Tigress, kedudukan ke-22 dunia berbanding lima lawan mereka iaitu pencabar terdekat, Thailand (28), diikuti Kazakhstan (34), Singapura (35), Hong Kong (43) dan Indonesia (65).

Status sebagai juara benua Asia Tenggara selain kejayaan menjuarai Pusingan Pertama Liga Hoki Wanita Dunia (format lama) sejak 2012 sepatutnya menyaksikan Malaysian Tigress akan memenanginya sekali lagi.

Prestasi semasa dipamerkan skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ini juga harus diambil kira terutama selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Asia dengan tempat keempat pada Trofi Juara-Juara Asia di Bandar Donghae, Korea Selatan baru-baru ini.

Bagaimanapun, barisan pemain sama sekali tidak boleh memandang mudah keupayaan pasukan-pasukan lawan yang semestinya akan bermain lebih bertahan dan menanti peluang melakukan serangan balas pantas ke arah gawang gol pasukan kebangsaan.

Contoh terbaik ialah mereka berpesta gol membelasah Kazakhstan 13-1 sewaktu Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia 2017 pada Januari tetapi cuma menang tipis 2-1 ke atas lawan yang sama dalam aksi Piala Asia 2017 sekitar hujung tahun lalu.

Apa yang menarik untuk saya saksikan di Singapura kali ini ialah keberanian Dhaarma membawa pemain berusia 15 tahun iaitu Kirandeep Kaur Gurdip Singh bermain kejohanan senior pertama dalam kariernya.

Adakah kehadiran Kirandeep akan membawa impak positif seperti ditunjukkan dua lagi penyerang muda masing-masing baru berusia 17 dan 18 tahun iaitu Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Nur Amirah Syakirah Zulkifli?

Pada masa sama, adakah Farah Ayuni Yahya yang diangkat sebagai Penjaga Gol Terbaik Asia baru-baru ini dapat memastikan gawang gol Malaysian Tigress tidak dibolosi oleh lawan-lawan daripada ranking lebih rendah?

Ini kerana saingan di Singapura adalah salah satu persediaan buat mereka menghadapi kejohanan lebih berprestij selepas ini iaitu Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos nanti.

Apa tidaknya, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah meletakkan sasaran pingat gangsa yang harus dimenangi mereka di Indonesia nanti.

Malaysian Tigress seharusnya membuktikan kebolehan mereka dengan memenangi aksi di Singapura dengan  selesa dan bergaya memandangkan ia adalah peringkat awal kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Advertisement

Must Watch Video