Kemenangan skuad kebangsaan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Piala Suzuki AFF setelah menewaskan Kemboja 3-2, memberi sedikit harapan kepada anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh badan induk bola sepak negara kepada skuad kali ini untuk ke peringkat separuh akhir.
Keyakinan diri yang dipamerkan oleh pemain-pemain serta keinginan semua pemain untuk memburu kemenangan, perlu diberi pujian walaupun dua kali ketinggalan kepada pasukan Kemboja.
Kita dapat lihat bagaimana kesungguhan pemain-pemain walaupun kita tahu mereka bermain dalam keadaan tertekan tetapi dengan kekuatan mental dan kesedaran terhadap matlamat mereka dalam kejohanan ini memberi kesan positif kepada semua pemain.
Kita dapat lihat bagaimana pemain-pemain negara menunjukan sikap profesional mereka apabila berada di atas padang walaupun kadang-kadang mereka melakukan sedikit kesilapan sebagaimana yang berlaku semasa gol pertama jaringan Kemboja.
Namun, itu boleh diatasi setelah mereka belajar daripada kesilapan.
Tetapi ia tidak terjadi kepada kebanyakan pengurusan persatuan negeri dalam mengurus tadbir persatuan bola sepak negeri kerana masih lagi tidak berubah walaupun telah banyak perkara yang mereka pelajari dan alami, terutama dalam mengurus kewangan persatuan dan pelbagai lagi.
Lihat sahaja kelewatan membayar gaji dan sebagainya, ini memberi kesan yang negatif dalam industri bola sepak negara.
Mereka sepatutnya tahu membuat kajian dan penyelidikan dalam mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk memastikan dana persatuan perlu cukup mengikut perancangan perbelanjaan pasukan setiap tahun.
Mereka juga perlu bijak merancang dalam mencari penaja-penaja kerana penaja yang ada di Malaysia ini begitu terhad. Sepatutnya pengurusan perlu bijak menarik minat penaja-penaja dari luar negara.
Sebab itu, setiap pasukan perlu mempunyai misi dan visi serta berfikir di luar kotak sebagaimana misi dan visi pasukan Johor Darul Ta'zim kerana itu penting sekiranya sesebuah pasukan itu bercita-cita untuk bermain di peringkat Asia.
Secara tidak langsung, ia akan membuka ruang melebarkan peluang untuk menarik penaja-penaja dari luar negara.
Ubahlah sikap dalam memikirkan matlamat untuk memajukan bola sepak.
Masa depan pemain bukan hanya untuk memikirkan kepentingan peribadi sebagaimana yang terjadi di beberapa persatuan negeri sehingga menjejaskan persiapan pasukan untuk tahun hadapan.
Ambillah sikap sebagaimana pemain-pemain bola sepak. Walaupun diherdik dan dicaci, mereka tetap dengan misi dan visi mereka untuk memajukan diri dan mencipta kemenangan untuk majikan dan peminat mereka.