Skip to main content

Rencana

Jangan cari pasal dengan Melaka!

11116facebook.jpg
“Don’t mess with Melaka! (Jangan cari pasal dengan Melaka!)” sudah kerap dicanang sebagai slogan negeri itu dalam menggalakkan kebersihan selain pelbagai acara sambutan.

Tetapi, dalam isu terbaharu bola sepaknya, Melaka pula yang seolah-olah cari pasal.

Pada waktu Mat Zan Mat Aris akur dengan ketentuan khidmatnya tidak dilanjutkan sambil melontarkan harapan agar Melaka terus cemerlang, sudah ramai yang mendoakan agar skuad Hijau Putih itu kembali menghuni Liga Perdana selepas hanya semusim.

Netizen tidak berselindung dengan rasa simpati mereka terhadap cara jurulatih itu diperlakukan menerusi media sosial sambil mengharapkan Persatuan Bolasepak Melaka mendapat balasan setimpal kerana bersikap tidak mengenang budi.

Perbandingan turut dibuat dengan Pulau Pinang yang menanggung padah kerana tidak mengekalkan khidmat Merzagua Abderrazak yang membawa pasukan itu keluar dari Liga FAM ke Liga Perdana pada musim 2013.

(Untuk rekod, Merzagua tidak berkelayakan membimbing Pulau Pinang dalam Liga Perdana kerana tidak memiliki lesen kejurulatihan yang disyaratkan. Bekas pemain dari Maghribi itu, bagaimanapun, dilaporkan sudah mendapat lesen berkenaan tahun lalu).

Contoh terbaharu yang ditampilkan peminat bola sepak ialah Selangor yang gagal mempertahankan Piala Malaysia, Ahad lalu, gara-gara bersikap tidak adil dengan tidak melanjutkan khidmat Mehmet Durakovic yang mengemudi skuad Merah-Kuning menjuarai Piala Malaysia 2015.

Melaka harus mempunyai alasan dan sebab-sebabnya sendiri untuk meleraikan ikatan dengan Mat Zan tetapi cara status jurulatih itu ditangani – dia tetap membimbing Melaka menjuarai Liga Perdana di sebalik kontraknya sudah tamat Ogos lalu -- yang dianggap sangat tidak profesional.

Ada netizen yang menyindir dengan menyatakan setelah lama bergelumang dalam Liga FAM dan Liga Perdana musim lalu, Melaka – yang baru dijenamakan semula sebagai Melaka United Football Club atau ringkasnya, MUFC – tidak harus dipersalahkan jika baru hendak belajar makna profesionalisme.

Pasukan “tidak mengenang budi”, “kacang lupakan kulit”, "habis manis sepah dibuang" dan “tunggu sumpahan Mat Zan” adalah antara frasa yang berulang-ulang digunakan peminat dalam laman sosial sambil mengharapkan Melaka menanggung padah besar daripada keangkuhan mereka sendiri.

Paling dipersoalkan ialah mengapa seorang jurulatih yang memenuhi Indeks Prestasi Utama (KPI) dengan mengemudi pasukan menjuarai Liga Perdana, disisihkan sedangkan Mat Zan boleh sekurang-kurang dikekalkan sebagai penolong jurulatih andai Melaka berhasrat mengambil jurulatih asing, sesuai dengan cabaran lebih besar dalam Liga Super musim depan.

Andai jurulatih asing menjadi pertimbangan utama pun, ia harus tidak bermaksud merendah-rendahkan keupayaan Mat Zan – yang memiliki pencapaian terpuji dalam Liga Super ketika membimbing Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama dengan menundukkan Perak 2-1 dalam final pada 2001 menerusi jaringan Rosdi Talib dan Sapian Wahid.

Tetapi, menepati resmi seorang jurulatih yang yakin dengan keupayaannya sendiri, Mat Zan harus tidak tercari-cari pasukan baru kerana pastinya ada pasukan yang akan menagih khidmatnya di samping menghargai keikhlasannya.

Cuma, diandaikan pasukan lain yang keberuntungan, dikhuatiri ia akan menjadi kerugian besar buat Melaka.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found