Skip to main content

Rencana

Jangan berhenti belajar

tennis-generic.jpg
Jangan berhenti belajar walaupun anda berusia 15 tahun yang berjaya beraksi di Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat seperti Michael Chang.

Ia kerana peluang untuk berjaya dan mendapat kewangan yang stabil daripada hanya bermain sukan amat nipis, kemungkinan hanya lebih sedikit daripada 0%.

Kebarangkalian untuk kita menjadi doktor, peguam atau pekerjaan profesional yang lain sebenarnya lebih tinggi.

Kadangkala, ketika membuat liputan saya terdengar ibu bapa berbicara mengenai masa depan anak mereka seperti “Tidak apa, kalau anak saya tak sampai tahap profesional, mereka boleh jadi jurulatih”.

Saya berpendapat bahawa terdapat salah faham bagi kepercayaan sebegitu kerana jurulatih yang bagus tidak semestinya pemain yang bagus. 

Terdapat ramai pemain kebangsaan yang tidak berjaya menjadi jurulatih yang bagus walaupun mereka berjaya meraih banyak gelaran sebagai pemain.

Kita tidak mungkin akan tahu angka sebenar kanak-kanak yang berhenti sekolah demi mencapai impian menjadi atlet profesional, tapi ia fakta yang terang dan jelas bahawa angka yang gagal lebih banyak daripada yang berjaya atau mampu menanggung kos kehidupan melalui sukan.

Sebagai contoh, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Pandelela Rinong, sanggup bergelut selama lima tahun antara bidang akademik dan karier sebagai atlet bagi mengakhiri pengajian dengan segulung ijazah.

Atlet hoki negara, Muhammad Fitri Saari juga memilih untuk mengakhiri pengajian dengan segulung ijazah bagi kestabilan hidup pada masa depan.

Selain itu, terdapat beberapa contoh lain, seperti dalam sukan tenis iaitu pemain Amerika Syarikat, James Blake yang menjadi penuntut Universiti Harvard selama 2 tahun.

Atlet-atlet seperti ini sedar akan tanggungjawab mereka dalam membuat pilihan hidup supaya mempunyai “backup plan” jika karier sebagai atlet sudah tidak dapat disambungkan.

Bagi saya, jika ingin menjadi atlet secara sepenuh masa atau menjadikan sukan sebagai karier, mereka harus melihat keupayaan diri jika mampu bertanding dengan pemain-pemain yang berada di kelompok teratas pentas dunia.

Kerana mempunyai pelajaran, pendidikan serta kemahiran dalam sukan, ia adalah pakej terbaik bagi berbanding hanya mempunyai kemahiran sukan.
 

Advertisement

Must Watch Video