Kalau ada peluang, cuba tanya kepada atlet kebangsaan bagaimana sukarnya untuk memperbaharui catatan terbaik musim baru atau peribadi terbaik.
Ada yang berlatih hingga terbaring di atas padang, ada yang termuntah dipaksa berlari di trek malah ada yang mengaku kalah.
Ia memerlukan pengorbanan dalam dan di luar gelanggang, hanya untuk memperbaharui catatan sendiri.
Tetapi, bukan semua mampu pecahkan rekod kebangsaan.
Saya bercakap mengenai atlet yang sudah 17 kali melakukannya!
Jackie Wong dua kali pecah rekod kebangsaan ketika raih pingat emas dalam Kejohanan Tertutup Malaysia di Trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Balingan kedua, 67.50 meter ialah rekod kebangsaan ke-16 buat juara bertahan Sukan SEA itu.
Dia belum melompat lagi.
Balingan kelima Jackie sekali lagi pecah rekod kebangsaan dengan 68.22 meter - kurang 1.78 meter untuk mencapai jarak 70 meter!.
"Keadaan berjalan lancar. Saya gembira kerana usaha keras berlatih di Bukit Jalil menampakkan hasil sama seperti mereka yang berlatih di luar negara.
"Saya akan menyertai kejohanan di Korea Selatan, minggu depan, dan berharap dapat sekali lagi pecahkan rekod kebangsaan di sana," katanya.
Saya setuju dengan Jackie, sedikit demi sedikit.
Memang, had kelayakan Kejohanan Dunia 2019 terlalu tinggi, 76 meter.
Malah, catatan ini hanya meletakkannya di ranking keenam Sukan Asia 2018.
Tetapi percayalah jika Jackie konsisten, melepasi jarak 70 meter terlebih dulu, berlatih lebih keras tahun depan - saya yakin dia mampu raih pingat di pentas Asia dan Eropah.
* Had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020: 77.50 meter
Bazly Azmi
Sun Aug 18 2019