Skip to main content

Rencana

Jackie atlet pertama positif Covid-19

jackie-wong_1.jpg
Pandemik Covid-19 bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh khasnya selepas atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, menjadi atlet pertama negara yang disahkan positif.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S.M Muthu, dalam satu sidang media pada 16 Mac mengesahkan pemegang rekod kebangsaan itu dijangkiti virus berkenaan menerusi keputusan ujian yang dikeluarkan Hospital Sibu, Sarawak pada 16 Mac.

Difahamkan, Jackie yang berjumpa bapanya di Kuala Lumpur terlebih dahulu membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman Sarawak pada 11 Mac selepas bapanya Andrew Wong Ling Biu ditahan di Hospital Sibu. Pemeriksaan awal menyatakan bapanya menghidap jangkitan paru-paru.  

Pihak hospital juga turut memberi keterangan bahawa bapanya dijangkiti semasa menaiki satu penerbangan bersama penumpang yang menjadi salah seorang peserta Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 2 Mac lalu. Buat masa ini, Jackie dan bapanya dalam fasa kuarantin di Hospital Sibu.

Jackie antara atlet yang berjaya pamer aksi konsisten setelah menjadi pemegang rekod kebangsaan dengan jarak 68.22 meter, selain meraih pingat perak ketika di Sukan SEA Filipina tahun 2019.

Susulan perkara yang melanda atlet berusia 27 tahun ini, KOM melarang atlet kebangsaan menjalani latihan selain melibatkan diri dalam mana-mana kejohanan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu. Tempoh itu mungkin berlanjutan berdasarkan keadaan semasa.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga dalam satu kenyataan pada 16 Mac mengarahkan agar fasiliti terpilih di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) ditutup untuk tujuan pembasmian.

Advertisement

Must Watch Video