Skip to main content

Rencana

ISN, selepas dua tahun

isn-300517.jpg
INSTITUT Sukan Negara (ISN) berdepan dengan pelbagai kemelut yang mengancam reputasinya akhir-akhir ini.
 
Bermula dengan isu bekas ketua jurulatih acara terjun Yang Zhuliang mendedahkan kontraknya tidak dilanjutkan kepada segelintir media berbahasa Cina, disusuli kenyataan pengerusi ISN, Datuk Azim Zabidi, melabel corak latihan jurulatih itu sebagai lapuk, agensi itu yang dianggotai kebanyakannya saintis sukan tidak pernah sunyi daripada kontroversi.
 
Dalam tempoh genap dua tahun ISN diterajui oleh ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Khairi Zawi, agensi itu bukan sahaja berdepan cabaran mengurus khidmat sokongan atlet, bahkan dihimpit isu doping dan isu pengurusan dalaman.
 
Dr Mohd Khairi mewarisi kerusi panas itu daripada Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, berkuatkuasa 15 Januari 2016.
 
Ini berikutan tindakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mengambil langkah berani menukar kepimpinan tertinggi ISN, dua tahun sesudah menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong dengan Datuk Ahmad Shapawi Ismail selaku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).
 
Di antara dua agensi ini wujud pula Podium yang diterajui Tim Newenham.
 
Persepsi umum adalah Podium diberi kuasa autonomi untuk merencanakan program atlet elit untuk Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.
 
Ini berikutan penyusunan semula membabitkan program latihan ISN, MSN dan pemegang kepentingan yang lain di bawah Model Sukan Baharu yang dilancarkan oleh Khairy pada 2015.
 
Apa sahaja isu membabitkan atlet dan jurulatih elit adalah tanggungjawab Newenham, yang disyorkan oleh Keith Power, bekas Pengarah Prestasi Tinggi Sukan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
 
Makanya, prestasi 146 atlet di bawah Podium yang dipersiapkan menghadapi dua temasya besar tahun ini – Sukan Komanwel di Gold Coast, April nanti dan Sukan Asia di Indonesia Ogos depan - adalah tanggungjawab Podium.
 
Bagi ISN pula, tugas hakiki agensi itu kekal antara lain menyediakan khidmat sokongan kepada atlet Podium dan atlet naungan MSN.
 
Namun apabila tiga penembak, Muslifah Zulkifli, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Nur Suryani Taibi mencabar keputusan menggugurkan mereka daripada Podium, yang disaman adalah ISN.
 
Apabila nama-nama besar gagal ujian doping, yang dipersalahkan adalah ISN.
 
Ditambah pula dengan beberapa isu dalaman membabitkan penamatan khidmat atau kontrak pakar sains sukan yang tidak dilanjutkan, pengurusan tertinggi ISN berdepan kecaman.
 
Dalam iklim ekonomi yang kurang sihat, kakitangan kontrak yang tidak dilanjutkan tempoh perkhidmatan dibuat selepas penelitian terperinci dan wajar dari perspektif ISN.
 
Apabila kontrak Zhuliang tidak disambung sekalipun menghasilkan juara dunia dan dua pingat Olimpik, yang menjadi sasaran kecaman ISN susulan kenyataan pengerusinya yang mengundang pelbagai tafsiran.
 
Isu-isu ini tentunya menenggelamkan usaha dan pahit jerih di sebalik tabir dalam memastikan atlet elit negara diberi bantuan khusus dari segi latihan suaian fizikal lebih intensif serta program berasaskan data yang terkandung dalam sistem pengurusan atlet
 
Meskipun kecewa dengan beberapa laporan media yang disifatkan sebagai negatif, Dr Mohd Khairi menerima hakikat ia asam garam menguruskan agensi berprofil tinggi.
 
“Kalau kita dengar khabar angin, ISN tidak boleh berfungsi,” katanya.
 
Menyedari cabaran setinggi gunung yang menunggu ISN dan Podium sepanjang 2018, Dr Mohd Khairi percaya sistem pengurusan atlet yang berteraskan data berupaya memberi kelebihan kecil atau marginal gains apabila atlet turun ke gelanggang masing-masing.
 
“Pastinya Sukan Komanwel dan Sukan Asia membawa satu cabaran besar buat ISN kerana kedua-duanya terkandung dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) agensi dan ini kali pertama ISN menjadi peneraju program.
 
“Dibantu MSN, saya percaya ISN dan Podium mampu melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.
 
Sistem pengurusan atlet itu, katanya, diaplikasi bagi memastikan profil berteraskan data sambil memantau kekuatan lawan, harus membantu prestasi atlet.
 
Katanya, mengambil contoh juara keirin dunia, Azizulhasni Awang, profilnya menunjukkan tubuhnya memerlukan otot dibina dengan cepat dan berkesan, serta didukung latihan suaian fizikal lebih intensif.
 
Bagi jagoan lompat tinggi, Nauraj Singh, yang berkongsi kedudukan kedua dalam ranking Komanwel berpandukan ketinggian 2.30m yang dicatat di Terbuka Singapura pada April lalu, dia hanya terpisah 0.01m dengan Robert Grabarz, pemenang gangsa Sukan Olimpik 2012 yang memiliki catatan peribadi terbaik 2.31m.
 
Turut mencatat ketinggian 2.30m tahun lalu ialah Michael Mason dari Kanada yang juga pemenang perak Sukan Komanwel 2014 dan Tom Gale dari England manakala Donald Thomas dari Bahamas , Derek Drouin dari Kanada, Chris Baker dan Vasilios Konstantinou semuanya melepasi paras 2.28m.
 
“Berpandukan data yang ada, ISN harus mengemukakan beberapa elemen untuk memastikan atlet dapat meningkatkan prestasi,” katanya.
 
April dan Ogos sesungguhnya dinanti-nantikan masyarakat sukan negara.

Advertisement

Must Watch Video