Skip to main content

Rencana

Import impak segera

ifedayo_1.jpg
Jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka dari 2 Mei lalu hingga 29 Mei ini menyaksikan beberapa pasukan Liga Super berjaya membuat pembelian bijak.

Berikut adalah lima pembelian import terbaik pasukan Liga Super setakat ini.

5. Darko Markovoc (Kuala Lumpur)
Skuad Warga Kota kendalian Chong Yee Fatt jelas memerlukan ramuan tambahan untuk menambah keampuhan dalam usaha untuk keluar daripada kelompok dua pasukan terbawah liga.

Ternyata Yee Fatt membuat penilaian tepat untuk memasukkan Markovic, yang sebelum ini beraksi bersama Melaka dari awal musim.

Markovic adalah seorang pemain tengah pertahanan dan sejak kehadirannya, Kuala Lumpur turut berjaya menewaskan PKNS FC 2-1 minggu lalu.

Markovic berjaya membantuk benteng Kuala Lumpur untuk tampil lebih mantap, serta memberi ruang buat pemain tengah seperti Paulo Josue dan Zhafri Yahya lebih ruang untuk membantu serangan.

Pemain kelahiran Montenegro ini pernah bersama kelab gergasi Uzbekistan, Pakhtakor dan beraksi bersama kelab itu di Liga Juara-juara AFC pada 2009-2011.

4. Pedro Henrique Olivera (PJ City)
Penyerang kelahiran Brazil dari Timor Leste ini tampak memberikan impak buat skuad kendalian K Devan. Dengan ketinggian 183 sentimeter, kelibat pemain ini jelas sukar ditangani benteng pertahanan lawan.

Ia terbukti apabila Olivera memacu kebangkitan pasukannya berdepan Terengganu FC minggu lalu. Ketinggalan 3-0, Olivera meraih dua gol untuk pasukannya melakar kemenangan 5-3.

3. Careca (Perak)
Nama Careca lebih sinonim dengan kelibat legenda Brazil di era 80an dan 90an yang turut beraksi di Piala Dunia Itali 1990.

Namun, Careca di Perak kini ialah Raiandarson Da Costa Moraise yang selesa beraksi sebagai pemain tengah menyerang atau penyerang.

Careca cemerlang membantu Perak menewaskan PKNP 2-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala FA minggu lalu, sebelum turut merakam dua gol untuk memastikan kemenangan 3-1 ke atas lawan sama dalam aksi Liga Super pada Rabu.

Ternyata pengurusan Perak membuat pilihan tepat mendapatkan Careca selaku “pemain nombor 10” untuk menggantikan Wander Luiz yang tampak kurang efektif pada awal musim.

2. Ronaldo (Perak)
Selain Careca, Perak turut mendapatkan seorang lagi penyerang baru dari Brazil iaitu Ronaldo.

Ya Ronaldo, tetapi bukan Cristiano Ronaldo atau Ronaldo “The Phenomenon” sebaliknya Ronaldo Henrique Silva.

Ronaldo dibawa masuk menggantikan Gilmar yang jelas mengalami kemerosotan prestasi mendadak musim ini.

Kemasukan Ronaldo memberi nafas kepada jentera serangan Perak dan beliau terus meraih dua gol pada debut berdepan PKNP ketika aksi suku akhir kedua Piala FA minggu lalu.

Ronaldo meneruskan rentetan jaringan apabila menyempurnakan penalti ketika menewaskan PKNP 3-1 Selasa lalu dalam aksi Liga Super.


1. Ifedayo Olusegun (Selangor)
Penulis memilih Olusegun di kedudukan teratas di kalangan awang import baru pertengahan musim berlandaskan aksi yang dipamerkannya.

Penyerang kelahiran Nigeria ini mempamerkan aksi cemerlang pada penampilan sulung dengan Selangor, apabila meraih hatrik berdepan Kedah dalam aksi Liga Super Rabu lalu.

Berbekalkan pengalaman beraksi di saingan Liga Perdana Bahrain, serta pernah bersama Felda United dan Melaka sebelum ini, Olusegun mudah menyesuaikan diri.

Penulis percaya, permata terbaru Selangor ini berupaya memastikan Gergasi Merah terus mengukuhkan kedudukan liga dan mungkin memberi cabaran kuat di Piala Malaysia.

Jika selepas ni Olesegun terus menemui sasaan gol, penulis berasa pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) wajar segera menawarkan lanjutan kontrak sehingga akhir musim depan.

Advertisement

Must Watch Video