RENCANA
Iceland, negara kecil berjiwa besar
Sebagai seorang kaki berangan, saya hanya mengenali Iceland sebagai lokasi tumpuan pengembara atau pencinta alam. Buminya yang dianggarkan hanya sebesar Kentucky di Amerika Syarikat, kaya dengan khazanah semulajadi yang unik seperti air terjun, bongkah ais dan kolam air panas yang terbentuk daripada letusan gunung berapi.
Namun saiz dan permukaan bumi, tidak menyekat impian Iceland untuk melangkah ke kejohanan utama bola sepak dan Perancis akan menjadi lokasi bersejarah buat pasukan kendalian Lars Lagerback pada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 10 Jun hingga 10 Julai tahun hadapan.
Nama Lagerback mungkin tidak sepopular Loius Van Gaal yang meneruskan legasi hebat Belanda sebelum ini tetapi jurulatih ini merupakan tulang belakang kejayaan Sweeden di 5 kejohanan utama, selain hampir membawa Nigeria ke pusingan kedua Piala Dunia 2010.
Iklan
Jodoh Lagerback bersama Iceland yang dimeterai sejak 2011 ternyata semakin serasi dan membuahkan hasil dengan kini berada di ranking ke-23 dunia, satu anak tangga dibawah Perancis, dan lebih baik daripada Amerika Syarikat dan negara kelahiran Lagerback sendiri iaitu Sweden.
Jumlah penduduk yang sedikit juga tidak menghalang Iceland melahirkan ramai pemain bola sepak yang bakat mereka diiktiraf kuasa besar bola sepak, termasuk Jerman. Semuanya hasil program pembangunan bola sepak yang direncana sejak tahun 90an. Iceland mendapat sokongan kerajaan yang melihat pelaburan dalam bola sepak dapat membantu membangunkan negara.
Apa yang menarik, kerajaan turut menggalakkan rakyat mereka untuk memilih kerjaya sebagai jurulatih bola sepak. Sudah pasti, hanya jurulatih berkaliber dapat menggilap bakat pemain berkualiti. Maka tidak hairanlah sejak 2013, Lagerback selesa menggunakan khidmat bersama jurulatih tempatan, Heimir Hallgrimsson untuk mengejar impian warga Iceland.
Saya sebagai penyokong setia Sepanyol dan Portugal sudah tidak sabar menantikan kehangatan EURO 2016. Namun saya cukup berminat untuk mengetahui sejauh mana pasukan “underdog” seperti Iceland mampu pergi. Kalau ada resepi rahsia Lagerback dan Hallgrimsson nanti, barulah kena dengan tema “bergabung, meletup!”
Must-Watch Video