Skip to main content

Rencana

Hentikan budaya naungan politik

bam1.jpg
SEPERTI bola sepak dan beberapa sukan utama yang lain, badminton menikmati naungan politik pemerintah.
 
Lebih khusus, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara tradisi melantik isteri kepada Perdana Menteri sebagai penaung.
 
Budaya ini harus dihentikan segera.
 
Kenapa?
 
Kerana ia menggalakkan naungan dan perlindungan politik dan sekali gus menimbulkan kemungkinan pemegang jawatan BAM mendapat hak-hak istimewa yang tidak dikhaskan buat sukan lain, khususnya yang tidak popular.
 
Mustahil BAM yang berusia 84 tahun dan diterajui oleh Datuk Seri Norza Zakaria, presidennya yang ke-11, tidak mampu berdikari lagi?
 
Penulis terkenang insiden 1990-an apabila seorang pegawai BAM dikhabarkan dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi tiada tindakan susulan diambil disebabkan intimnya beliau dengan penaung BAM waktu itu.
 
Ada juga beberapa dasar yang dirangka bersifat politik dan bukan atas kepentingan sukan berkenaan.
 
Ada juga beberapa perencanaan yang terbit daripada niat murni tetapi tergendala gara-gara beberapa faktor di luar kawalan BAM.
 
Penulis teringat projek 1001 Gelanggang yang diumumkan oleh penaung BAM, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun) pada 1994. Konsepnya berteraskan kepada pembinaan 162 gelanggang di setiap kawasan Parlimen yang dikuasai Barisan Nasional (BN) waktu itu.
 
Malangnya projek itu terbengkalai biarpun hampir 60 gelanggang siap dibina dengan kos RM5 juta.
 
Dengan lanskap yang berbeza berikutan kemenangan Kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu, adalah wajar budaya mengangkat anggota atau keluarga anggota pemerintah wajar dipinggirkan terus.
 
Penulis berasa risau jika ada timbul konflik kepentingan atau isu, tiada jalan penyelesaian yang adil dan saksama.

Tiba masanya semua persatuan sukan menjalin kerjasama rapat dengan penaja, kementerian atau agensi kerajaan tanpa perlu naungan mereka yang berada di serambi kuasa.
 
Elok rasanya jika pemimpin persatuan – sama ada peringkat kebangsaan atau negeri – beramai-ramai menghidupkan semula budaya menyumbang wang ringgit ke dalam kantung persatuan, sebagaimana yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
 
 
PRESIDEN BAM SEPANJANG ZAMAN

 
JOHN L WOODS (1934-1947)
 
LIM CHUAN GEOK (1948)
 
HEAH JOO SEANG (1949-1950)
 
KHOO TEIK FOO (1950-1953)
 
HEAH JOO SEANG (1954-1958)
 
LOH HOOT YEANG (1959-1961)
 
TAN SRI KHIR JOHARI (1961-1985)
 
TAN SRI ELYAS OMAR (1985-1993)
 
DATUK DR ABDULLAH FADZIL CHE WAN (1993-2000)
 
TAN SRI NADZMI MOHD SALLEH (2000-2013)
 
TENGKU MAHALEEL TENGKU ARIFF (2013-2016)
 
DATUK SERI NORZA ZAKARIA (2017 -)
 
 

Advertisement

Must Watch Video