Skip to main content

Rencana

Hendo raih pengiktirafan jua akhirnya

gerard-hendo.jpg
Buat sekian lama, peminat Liverpool menyangkakan mereka tidak akan menemui seorang pengganti kapten sehebat anak tempatan dan legenda kelab, Steven Gerrard.

Perpindahannya untuk menyertai LA Galaxy pada 2015 berterusan dirindui – satu keadaan yang gagal diatasi dengan kegagalan Liverpool untuk menamatkan kemarau gelaran juara liga yang kali terakhir dikecapi dalam era liga divisyen satu pada 1990.

Gerrard memenangi segala-galanya sepanjang kerjaya cemerlangnya dalam jersi merah The Reds kecuali satu – trofi juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gambarannya kelihatan kekal dan tidak akan berubah sehinggalah awal pagi Jumaat lalu apabila Liverpool menamatkan penantian panjang 30 tahun untuk bergelar juara EPL buat julung-julung kalinya.

Seiring dengan lakaran sejarah itu juga, tampil Jordan Henderson untuk menagih haknya selaku kapten yang mewarisi lilitan lengan yang diserahkan Gerrard lima tahun terdahulu.

Dicemuh penyokong pada awalnya dan sentiasa menjadi mangsa perbandingan yang dianggap tidak cukup berwibawa, Henderson atau Hendo seperti yang gemar disapa pengurus, Jurgen Klopp, sudah meraih detik pengiktirafan buatnya sendiri.

Apapun tanggapan sesetengah penyokong – satu tinjauan pendapat terbaru memberikan 80 peratus undi kepada Gerrard selaku kapten yang lebih menjadi pujaan – Hendo tetap layak diberikan pujian.

Mewarisi tanggungjawab itu daripada seorang legenda kelab, Hendo telah kerap jatuh bangun bagi menyerlahkan stail kepimpinannya sendiri untuk akhirnya menyerlahkan kewibawaan yang diterima ramai.

Sejauh ini, pemain berusia 30 tahun itu, yang didatangkan daripada Sunderland menjelang hari jadinya yang ke-21, telah menjulang trofi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA untuk koleksinya bakal dilengkapkan dengan trofi EPL dalam perlawanan terakhir musim ini.

Tidak sukar untuk membezakan sumbangan Hendo sebenarnya.

Dia lazim menonjol sebagai sebahagian penting dalam mesin ciptaan Klopp dengan melakukan ‘kerja-kerja kotor’ di atas padang untuk membenarkan rakan-rakan sepasukan agar lebih menyerlah.

Kini, pengiktirafan terhadapnya datang melimpah-ruah, dengan rata-rata mereka bersependapat bahawa dia sudah meraih tempat yang selayaknya dalam himpunan legenda Liverpool yang terbilang.

“Sudah ramai kapten Liverpool yang telah mencuba, namun tetap gagal memimpin pasukan menggapai trofi juara EPL,” kata bekas kapten, Jamie Redknapp, kepada akhbar Daily Mail.

“Saya mengambil alih selaku kapten pada 1999 daripada Paul Ince, seorang pemain hebat. Selepas Steven Gerrard meninggalkan kami pada 2015, saya terfikir habislah kami.

“Tapi Henderson mewarisi lilitan kapten dan menunjukkan masih ada hayat selepas Gerrard. Rakan sepasukan menghormati dan memberi sepenuh sokongan kepadanya.

“Tiada keraguan lagi bahawa penyokong Liverpool sudah memperakui kepimpinannya dengan kejayaan mengesahkan kejuaraan EPL lebih awal,” katanya terhadap Hendo yang sudah melakukan 361 penampilan bersama Liverpool di samping memiliki kontrak sehingga musim panas 2023.

Namun, pengiktirafan terbesar buatnya harus daripada Gerrard sendiri yang mengirim pesanan melalui Instagram, Jumaat lalu, yang berbunyi: “Tidak mungkin saya serahkan (lilitan kapten) melainkan kepada pemain yang lebih baik. Bangga dengan kamu, sahabat.”

Rakan sepasukan, Virgil van Dijk, yang menyifatkan Hendo sebagai suri teladan kepada pemain-pemain muda, mengungkapkan: “Jika pemain muda mahu menjadi seorang pemain sebagai contoh ikutan, ia haruslah Hendo.

“Selama bertahun-tahun, dia lebih mengutamakan pasukan daripada dirinya. Apa yang saya suka mengenainya ialah dia menggunakan segala pengalamannya – detik terendahnya, deretan kritikan dan masalahnya dengan kecederaan – untuk membantu pemain lain yang melalui situasi serupa.”

Hendo selayaknya menikmati detik bersejarah ini.

Advertisement

Must Watch Video