Skip to main content

Rencana

Hebat juga Olic!

olic.jpg
"Kami mencari pemain yang berkualiti dan berkaliber. Mereka masih mempunyai masa untuk membuktikan bahawa mereka layak dipilih dan dua daripada mereka akan dibawa ke Bayern Munich," katanya.

Nada serius dan bersemangat itu disuarakan ketua panel pemilihan kem Explorer Allianz Asia Singapura (AJFC) edisi 2019, Ivica Olic, ketika ditemui di negara jiran itu, bulan lalu.

Bagaimanapun, siapa individu yang turut dibantu oleh Thomas Dollner ini?

Sedar atau tidak, bekas pemain yang memulakan karier bola sepak bersama kelab NK Marsonia pada 1996 itu pernah dinamakan selaku Pemain Terbaik Tahunan Croatia bagi tahun 2009 dan 2010. Malah, dia juga memiliki pengalaman beraksi di pentas final Liga Juara-Juara Eropah bersama gergasi Jerman, Bayern Munich, bagi musim 2009-10 dan 2011-12.

Beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia pada tahun 2002, 2006 dan 2014 serta memperkuatkan Croatia bagi kempen EURO 2004 dan EURO 2008, dia akhirnya mengumumkan persaraan daripada arena bola sepak selaku pemain empat tahun lalu, beberapa bulan selepas meraih penampilan ke-100 bersama The Blazers.

Meskipun melalui karier gemilang bersama Hamburg SV menerusi dua tempoh berbeza iaitu antara 2007-2009 dan 2015-2016 selepas mencatat 103 gol di pentas Bundesliga, semestinya kelibat Olic lebih mencuri tumpuan sewaktu menyarung jersi The Bavarians.

Di Allianz Arena, pemain kelahiran Davor itu memiliki dua detik yang pasti diingati oleh peminat Bayern.

Pertama, semestinya jaringan hebat yang dilakukan pada waktu kecederaan sewaktu aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara Eropah 2009-10 berdepan Manchester United sehingga membolehkan pasukannya menang 2-1.

Kedua, jaringan hatrik dijelmakan Olic sewaktu menewaskan Olympique Lyon dalam saingan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah bagi musim yang sama. Apa yang menarik, ledakan hatrik dianggap sempurna selepas dihasilkan menerusi kaki kiri, kaki kanan dan tandukan. Bagaimanapun, Bayern tidak bernasib baik pada musim tersebut selepas tewas 2-0 di tangan Inter Milan dalam aksi final.

Catatan hebat Olic itu sudah tentu membuatkan penulis teruja untuk menemuinya sekali lagi menjelang kem terakhir AJFC di Jerman penghujung bulan ini. 

Di sebalik ketegasan dan ketelusan dalam menilai setiap pemain muda, sikap Olic yang sering mesra media dan tidak kedekut memberikan senyuman setiap kali ditemubual membuatkan semua pihak senang hati berurusan dengannya.

Mia san mia, Olic!

Advertisement

Must Watch Video