Skip to main content

Advertisement

Rencana

Hazard kotakan janji terakhirnya buat Chelsea

edenhazard.jpg
"Jika ia adalah perlawanan terakhir saya, saya berharap dapat menjulang trofi itu.

"Trofi pertama saya dengan Chelsea adalah Liga Europa, jadi ia akan menjadi trofi terakhir yang sangat indah."


Itulah yang diikrarkan bintang Chelsea, Eden Hazard, sebelum sepak mula perlawanan akhir Liga Europa, awal pagi semalam.

Sedar ia mungkin menjadi aksi terakhirnya buat pasukan yang disertainya pada 2012 itu, dia mengotakan janji tersebut dengan menghasilkan dua gol dan satu bantuan jaringan untuk memastikan The Blues menewaskan Arsenal 4-1 dalam aksi final di Baku, sekali gus melengkapkan julangan trofi terakhirnya buat kelab London berkenaan.

Bagaimanapun, Hazard meninggalkan perasaan bercampur-baur buat peminat Chelsea.

Sebaik selesai menunaikan janji itu, dia mengesahkan perpindahannya ke kelab gergasi LaLiga, Real Madrid, yang kian pasti.

Di sebalik kegembiraan yang baru saja disajikan, dia memberikan khabar duka buat peminatnya di Chelsea yang menggambarkan tujuh tahun kegemilangannya bersama pasukan itu sudah sampai ke penghujungnya.

"Saya sudah membuat keputusan dan kini sedang menantikan perbincangan di antara kedua-dua kelab.

"Saya rasa ia ucapan selamat tinggal, namun dalam bola sepak, tiada siapa tahu apa yang akan berlaku.

"Impian saya ialah untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan saya telah mengecapinya dengan salah satu kelab terbesar, jadi mungkin sudah sampai masanya untuk saya mencari cabaran baru.

"Saya sayangi penyokong Chelsea kerana mereka sebahagian daripada keluarga saya.

"Jika saya perlu mengucapkan selamat tinggal, terima kasih di atas segala-galanya selama tujuh tahun ini," katanya seperti yang dipetik BT Sport dan beIN Sports selepas final itu yang turut disaksikan pemilik Chelsea, Roman Abramovich.

Sudah pasti pemergian Hazard itu akan dirasai bukan sahaja penyokong tetapi keseluruhan pemain dan pegawai kejurulatihan Chelsea juga.

Masakan tidak, Hazard sebelum ini merupakan pemain serba boleh yang menjadi nadi The Blues baik di bahagian tengah mahupun serangan.

Dalam tempoh tujuh tahun mencurah bakti buat pasukan itu, dia telah meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua kejuaraan liga Europa serta masing-masing satu dalam saingan Piala FA dan Piala EFL.

Anugerah secara individu pula terlalu banyak untuk disenaraikan, antaranya anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris (2014-15), Pemain Perancang Terbaik Liga Perdana Inggeris (2018-2019) dan empat kali menerima anugerah Pemain Terbaik Tahunan Chelsea.

Reputasi itu sudah jelas menunjukkan betapa besarnya kehilangan yang akan dirasai Chelsea musim depan andai benar perpindahan itu berlaku.

Dan keadaan itu diakui sendiri kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta.

"Ia kehilangan besar buat kami, sebagai pemain dan individu

"Kami menyertai pasukan ini sejak tujuh tahun lalu, kami memenangi enam kejuaraan dan ia saat yang luar biasa di atas dan di luar padang.

"Saya hanya boleh mendoakan yang terbaik buatnya kerana dia merupakan kawan baik saya.

"Dengan keinginan yang ditunjukkannya di atas padang, kelakuannya sebagai pemain, saya berasakan semua di kelab ini menyayanginya.

"Saya hanya boleh mengucapkan selamat berjaya dan kami akan merinduinya," katanya kepada beIN Sports.

Hazard sudah boleh meninggalkan Chelsea tanpa perasaan ralat memandangkan janjinya sudahpun tertunai.

Buat penyokong Chelsea pula, mereka seharusnya berlapang dada untuk merelakan pemergian Hazard kerana keputusan itu sewajarnya dihormati.

Dan seharusnya impian Hazard untuk berdepan cabaran baru itu akan tertunai memandangkan cabaran dalam LaLiga pasti menjanjikan sesuatu yang berbeza berbanding di England.

Advertisement

Must Watch Video