Skip to main content

Rencana

Hazard ditakdirkan untuk kejayaan lebih besar

eden1-(1).jpg
Sudah sah kini Eden Hazard telah pun membuat lambaian terakhirnya kepada penyokong Chelsea sejurus The Blues menjulang trofi Liga Europa di Stadium Olimpik Baku, awal pagi tadi.

Selepas final yang turut menjadi perlawanan perpisahan buat bintang Belgium itu, media British menyorot bagaimana semuanya bermula tujuh tahun lalu sambil Hazard boleh menuntut pengiktirafan selaku salah seorang pemain terbaik dalam sejarah Chelsea.

Sepuluh hari menjelang final Liga Europa menentang Arsenal itu, pelantar media sosial Chelsea sarat dengan sorotan dan pelbagai memori daripada 2012 tapi fokusnya bukanlah kepada pemain sayap berkenaan.

Sebaliknya, ia berkisar kepada Munich di mana ia adalah antara malam terhebat buat Chelsea apabila mereka mengejutkan Bayern Munich menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ia adalah kemuncak kepada ikhtiar hampir sedekad sejak Roman Abramovich membeli kelab itu daripada Ken Bates yang dalam tempoh itu menyaksikan tunjang pasukan adalah Peter Cech di pintu gol, Ashley Cole dan John Terry di pertahanan, Frank Lampard di bahagian tengah dan Didier Drogba mengepalai serangan.

Kumpulan itu harus memenangi lebih banyak bersama-sama tapi kesudahannya mereka memenangi yang terbesar – yang menjadi impian Chelsea selama ini.

Kejayaan di Munich itu mempengaruhi langkah berikutnya kerana hanya berselang sembilan hari kemudian, Chelsea memenangi perebutan untuk menandatangani Hazard daripada kelab Liga Perancis, Lille.

Ia bukanpun kebetulan kerana pada musim panas 2012 itu, Hazard tampil antara yang terhebat di Eropah setelah memenangi kejuaraan Perancis pada tahun sebelumnya di samping bersandarkan pencapaian 20 gol semusim dalam Ligue 1 untuk dia mengekalkan Anugerah Pemain Terbaik Tahunan.

Dia dikaitkan dengan setiap kelab besar di Eropah tapi ia didedahkan kemudian bahawa Chelsea menjadi pilihannya kerana didorong oleh pengaruh Joe Cole ketika dipinjamkan kepada Lille dan kekagumannya terhadap Didier Drogba.

Ketibaan Hazard dipermudahkan oleh kehadiran rakan dalam pasukan kebangsaan Belgium di kelab itu -- Thibaut Courtois, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku – ketika itu.

Di sebalik menjuarai UCL, Chelsea tidak memenangi Liga Perdana sepanjang dua musim sebelumnya tapi situasi itu segera berubah – mereka menang dua kejuaraan liga, satu Piala FA, satu Piala Liga dan trofi Liga Europa dua kali.



Tempoh sepanjang tujuh tahun lalu juga menyaksikan ramai yang datang dan pergi. David Luiz sebenarnya pergi dan kembali semula, berdozen pemain lagi keluar dipinjamkan ke kelab lain, namun tiga tonggak utama tidak berganjak -- Cesar Azpilicueta, Gary Cahill dan tentunya, Hazard.

Dalam setiap musimnya bersama Chelsea, Hazard sentiasa mencapai angka 20 bagi jaringan dan bantuan gol. Dalam setiap musim juga, dia memenangi sekurang-kurangnya satu trofi… atau hampir.

Titik hitam buatnya ialah pada musim 2015-16 selepas Chelsea menang kejuaraan liga buat kali ketiga di bawah pengendalian Jose Mourinho.

Mourinho selepas itu dipecat sambil Hazard sendiri menjadi sasaran kemarahan penyokong dengan hanya menyumbat empat gol di samping kemarau jaringan hampir setahun gara-gara kecederaan, keyakinan yang merudum dan tiadanya harmoni di kelab.



Namun, mengenali Hazard, dia bangkit kembali musim berikutnya di bawah Antonio Conte untuk menjuarai EPL semula, disusuli apa yang rata-rata dianggap musim terbaiknya di bawah pemerhatian Maurizio Sarri musim ini.

Semua orang harus mempunyai detik terbaik yang diingati daripada Hazard, lazimnya daripada jaringan solonya sebagai menyudahi larian dan gelecekannya -- Arsenal, Liverpool, West Ham dan Tottenham Hotspur adalah antara yang sudah berasakan bahananya.

Cuma, di sebalik semua itu, Hazard akan meninggalkan Chelsea tanpa trofi UCL yang diidam-idamkannya.

Atau barangkali kita boleh mengandaikan perpisahannya dengan Chelsea adalah kerana dia ditakdirkan untuk mengecapi kejayaan lebih besar.

Advertisement

Must Watch Video