Skip to main content
ligasuper

Jom Undi Gol Terbaik Liga Super Sekarang!

Rencana

Hazard bawa makna “bahaya” buat Real Madrid

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

montel2-(2).jpg
Perjalanan hidup tidak akan mudah di Real Madrid dan Eden Hazard harus menyedari itu dari hari pertamanya – apatah lagi buat seorang pemain yang ditakrifkan “gemuk”.

Menepati namanya dalam bahasa Inggeris yang membawa erti bahaya atau berisiko, Eden membawa bersamanya perasaan itu di Santiago Bernabeu – bukan sangat kepada lawan tapi pasukannya sendiri.

Diperkenalkan kepada kira-kira 50,000 penyokong di Santiago Bernabeu buat kali pertama 13 Jun lalu, bekas bintang Chelsea itu disambut dengan jangkaan tinggi dengan yuran €100 juta (RM463j) selaku pengganti buat Cristiano Ronaldo yang meninggalkan Madrid semusim penuh yang lalu.

Mengisi sepasang kasut besar yang ditinggalkan Ronaldo untuk ke Juventus umpama satu tugas menggunung di mana Karim Benzema, Gareth Bale dan Vinicius Junior semuanya ditakrif tidak pun setanding.


BAHAN BUKTI... Hazard kelihatan gemuk dalam perlawanan pertama menentang Bayern 

Lantaran itu, ia harus bukan menghairankan Hazard apabila sejurus sebelum diperkenalkan kepada khalayak, sebahagian Madridistas bersorak: “Kami mahukan (Kylian) Mbappe!"

Tanpa kedatangan penyerang PSG itu, beban berat tergalas di bahu Hazard – menyumbat 101 gol daripada 352 penampilan dalam tujuh musim bersama Chelsea – untuk menjadi pelengkap kepada percaturan Zinedine Zidane melonjakkan kembali pasukan ke tampuk sebelum pengurus Perancis itu berundur pada penghujung musim 2017/18 lalu.

Tapi itu satu setengah bulan yang lalu dan banyak yang sudah berubah sejak itu – tidak banyak yang positif melainkan keadaan bertambah buruk buatnya.

Menyarung jersi nombor 50, Hazard tidak berlengah menunjukkan nilainya dalam perlawanan pertama menentang Bayern Munich dalam perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Texas, Amerika Syarikat, 21 Julai lalu.

Tewas 1-3, namun pemain berusia 28 tahun itu tetap meyakinkan dengan kerja kerasnya, hanya untuk jauh merosot dalam siri pramusim berdepan Arsenal (seri 2-2), Atletico Madrid (tewas 3-7) dan Tottenham (tewas 0-1) berikutnya.

Malah, satu hantaran liarnya membawa kepada gol kemenangan Harry Kane dalam Piala Audi di Munich itu, Rabu lalu, hingga akhbar harian sukan Sepanyol, MARCA, mula mempersoalkan keberkesanan Hazard yang mengharungi tiga perlawanan berturut-turut tanpa sebarang sumbangan bermakna.

Dan media Sepanyol segera menyalahkan semua itu kepada “kegemukan” Hazard, yang tujuh kilogram melebihi berat idealnya.

Sportbible turut tidak berlengah menyimpulkan pemain antarabangsa Belgium itu gagal memenuhi jangkaan awal terhadapnya gara-gara kegagalan menemui jaring dalam lima perlawanan pertamanya – termasuk dalam kemenangan 5-3 ke atas Fenerbahce dalam perebutan tempat ketiga Piala Audi, kelmarin.

ESPN menampilkan statistik bahawa dia hanya punya satu percubaan tepat daripada lima di sebalik gaji £400,000 (RM2.02j) seminggu bersama kelab itu.

Laman 90min.com pula memetik Presiden Real Madrid, Florentino Perez, sebagai sudah mula mempersoalkan sama ada Hazard adalah pemain yang mampu mengubah nasib Los Blancos di samping mempertikaikan etika kerjanya.


SALAH SASAR... ketaksuban Zidane mendapatkan Hazard kini cetus sengketa dengan Perez

Lebih daripada itu, Perez dikatakan turut menempelak Zidane kerana berkeras mahukan pemain berkenaan yang ketika itu berbaki hanya 12 bulan dalam kontraknya di Chelsea.

“Kita benar-benar membayar 100 juta untuk Hazard yang gemuk?,” soal seorang peminat di Twitter diselangi komen lain yang menggelarkan pemain itu apa saja daripada satu pembaziran, harapan palsu, menjengkelkan hinggalah kepada seorang penipu.

Apa sudah jadi kepada seorang pemain yang dianggap terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pemain sayap sayap berkelas dunia yang menjanjikan kegemilangan semula buat Real?

“Hazard bukanlah ‘faktor X’ untuk peminat menaruh harapan kepada pasukan ini,” kata mereka lagi.

Jika Hazard berasakan dia cukup berpengalaman untuk menangani tekanan sedemikian, sebenarnya dia baru tahu tekanan di Real Madrid adalah di tahap yang sama-sekali berbeza. 

 

Advertisement

Must Watch Video